Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis berkas penuntut cuba seludup bunga ganja RM1.17j di Kedah
Polis berkas penuntut cuba seludup bunga ganja RM1.17j di Kedah
Polis berkas penuntut cuba seludup bunga ganja RM1.17j di Kedah
ALOR SETAR: Seorang pelajar lelaki sebuah institut pengajian tinggi swasta sanggup menjadi penghantar untuk membawa masuk 14.63 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.17 juta ($370,000) dari negara jiran sebelum dicekup polis pada 15 Jun.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Penolong Pesuruhjaya Baderulhisham Baharudin, berkata suspek berusia 24 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Beliau berkata dalam operasi itu, suspek ditahan ketika menaiki pacuan empat roda, dan hasil pemeriksaan lanjut menemukan 13 bungkusan plastik hitam yang disyaki dadah jenis bunga ganja.
“Anggaran berat keseluruhan bunga ganja itu sebanyak 14,630.76 gram yang disorok di bahagian tempat duduk belakang kenderaan itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang berasal dari Rawang, Selangor, itu didapati positif ganja, namun tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada malam 16 Jun, lapor Harian Metro.
Encik Baderulhisham berkata rampasan itu mampu membekalkan dadah kepada 73,150 orang penagih.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar bagi sindiket penyeludupan dari negara jiran di Dannok, Thailand, sebelum dihantar ke beberapa tempat di Malaysia.
Suspek mendakwa mula terbabit dalam kegiatan dadah itu pada 25 Mei lalu selepas diperkenalkan oleh seorang lelaki di Dannok.
“Modus operandi sindiket itu adalah untuk mendapatkan bekalan dadah dari sekitar Dannok, sebelum menyembunyikannya di bahagian tempat duduk kenderaan pacuan empat roda milik keluarganya itu dan membawanya masuk ke negara ini melalui Kompleks ICQS di Bukit Kayu Hitam.
“Suspek mengaku berjaya membawa masuk bekalan dadah sebanyak empat kali sebelum ini untuk dihantar ke lokasi yang diarahkan oleh sindiket ke Johor dan Kuala Lumpur, dengan menerima upah RM4,000 bagi setiap penghantaran.
“Pada hari kejadian, suspek dipercayai cuba membawa masuk sekali lagi bekalan dadah itu untuk dibawa ke Kuala Lumpur, namun tindakannya gagal apabila ditahan anggota bertugas di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam,” katanya.
