BENTONG (Pahang): Polis sudah merakam keterangan tiga individu berkaitan satu hantaran yang tular tentang perkahwinan diraja yang kononnya bakal berlangsung antara Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah, dengan seorang wanita pada April 2025.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata tiga individu dipanggil pada 15 Disember untuk membantu dalam siasatan berhubung hantaran di media sosial, tetapi polis masih cuba mengesan wanita yang dikenali sebagai ‘Faridah’ itu.
“Kita sedang mengesan wanita berkenaan, dia diminta tampil untuk memberi kerjasama bagi membantu siasatan lanjut.
“Kita juga minta kerjasama (mana-mana) pihak yang mempunyai maklumat mengenai Faridah agar tampil, dan perkara itu juga masih dalam siasatan,” katanya, lapor Harian Metro.
Dalam satu hantaran yang tular di sosial media, wanita yang menggunakan nama Faridah itu membuat dakwaan palsu bahawa beliau bakal berkahwin dengan Tengku Hassanal Ibrahim.
Pada 10 Disember, Istana Pahang menafikan dakwaan wanita itu.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, berkata hantaran itu dimuat naik oleh seorang pengguna Instagram dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_l).
Dalam satu kes berasingan, polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, mengesahkan menerima lima laporan berhubung individu mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan, yang dikendalikan seorang usahawan Malaysia yang juga pempengaruh terkenal.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
Pada 16 Disember, media Malaysia melaporkan 10 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul oleh pempengaruh yang dikenali sebagai Kim Seri, yang menawarkan pakej lima hari pada harga kira-kira RM4,000 ($1,210).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg