KUALA LUMPUR: Pengasas bersama Jemaah Islamiyah (JI), Abu Bakar Bashir, menegaskan beliau sama sekali tiada kaitan dengan serangan maut di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei.
Malah, Abu Bakar berkata beliau terkejut dengan perbuatan penyerang yang meragut nyawa dua anggota polis Malaysia dan menyebabkan seorang lagi cedera.
Dalam sebuah video yang dihantar anaknya, Encik Abdul Rahim Bashir, kepada portal Malaysiakini, Abu Bakar mengecam serangan itu, yang pada mulanya dikaitkan dengan JI, dan menggesa belia Islam supaya jangan melakukan pengganasan dan pembunuhan atas nama Islam.
“Saya sama sekali tidak terkait dengan peristiwa semacam itu dan saya tidak ada hubungan apa-apa (dengannya). Saya mengecam keras perbuatan anak muda membunuh dua polis di Malaysia. Membunuh bukan ajaran Islam.
“Dalam Islam, apabila keadaan seperti ini, membela Islam cukup dengan dakwah dan doa, bukan dengan membunuh atau mengebom,” katanya dalam video itu, lapor Malaysiakini.
Encik Abdul Rahim sebelum itu memberitahu Malaysiakini bahawa sejak kembali ke Indonesia pada 1999 bapanya tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram, yang ditubuhkan pada 1993 dan dilaporkan pernah menjadi tempat berkumpul sejumlah pengganas paling dikehendaki di rantau ini.
Abu Bakar, yang pernah dipenjarakan atas kesalahan konspirasi pengeboman Bali dan menjalankan latihan tentera militan, berkata sesiapa yang menuduh dan mengaitkan dirinya dengan perbuatan itu telah berbohong dan beliau meminta mereka membuktikannya.
“Jangan semberono. Saya sama sekali tidak tahu dan selepas mendengar peristiwa itu, saya terkejut,” kata Abu Bakar, 85 tahun, yang menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan yang bertentangan dengan Islam.
“Saya nasihati pemuda-pemuda Islam, jangan ikut cara-cara yang keras, mudah mengkafirkan (orang lain) tanpa ada dalil dan alasan dalam Al-Quran. Kekerasan yang berlaku di Malaysia sama sekali bertentangan dengan Islam,” katanya.
JI diharamkan di Indonesia, Malaysia dan Singapura, dengan sejumlah pemimpinnya termasuk dalam senarai pemantauan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas kemungkinan ada kaitan dengan kumpulan militan Al-Qaeda dan dakwaan terlibat dalam banyak serangan bom berprofil tinggi sejak awal 2000-an.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Radikalisme dan Deradikalisasi Indonesia, Encik Adhe Bhakti, berkata kenyataan terbaru Abu Bakar itu tidak mengejutkan, berikutan perubahan yang dapat dilihat pada diri beliau sejak dibebaskan dari penjara tiga tahun lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg