JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan menahan dua lelaki yang juga dalang utamanya selain merampas hampir 24 kilogram dadah bernilai RM4 juta ($1.2 juta) di dua kondominium di sekitar bandar raya itu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata sindiket itu tumpas menerusi dua serbuan bermula 8.45 malam pada 10 Januari sehingga 6.30 pagi, 11 Januari lalu.
“Keseluruhannya, empat individu ditahan membabitkan dua lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia 20 tahun hingga 30 tahun.
“Semua suspek ditahan dipercayai bersahabat manakala dua lelaki warga tempatan itu pula disyaki menjadi antara dalang utama pengedaran dadah itu sejak Oktober 2024,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 17 Januari, lapor Harian Metro.
Menurutnya, kesemua suspek negatif dadah namun seorang daripada dalang sindiket memiliki rekod jenayah lampau.
“Taktik sindiket ialah menjadikan kediaman mewah sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah untuk pasaran di sekitar Johor Bahru.
“Bekalan dadah pula dipercayai diperoleh dari utara tanah air,” dedahnya.
Dadah dirampas membabitkan serbuk ecstasy bernilai RM3.9 juta, 296 gram ketamin bernilai RM59,200 dan 13.2 gram (66 biji) pil Eramin 5 bernilai RM1,320 dengan kesemua dadah itu cukup untuk kegunaan 80,946 penagih.
Polis turut menyita pelbagai peralatan pembungkusan semula dadah, sebuah kereta bernilai RM30,000 selain wang RM2,761.
Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 11 Januari hingga 17 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada perkembangan lain, menurut Datuk Kumar, sepanjang 1 Januari sehingga 16 Januarii, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor menahan 1,184 individu atas pelbagai kesalahan dadah.
“Sepanjang tempoh sama, kami merampas 155.75 kilogram dan 266.55 liter dadah berjumlah keseluruhan RM21.68 juta,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg