KUALA LUMPUR: Malaysia boleh mengambil contoh pelaksanaan penahanan dalam rumah seperti dikuatkuasakan negara jiran, Singapura, selain New Zealand dan Australia, menerusi Akta Tahanan Rumah yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 2026.
Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata penahanan dalam rumah boleh dilaksanakan jika ia membabitkan kesalahan ringan dengan hukuman di bawah lima tahun.
Mengambil contoh Singapura, beliau berkata mahkamah boleh membenarkan pesalah menjalani baki hukumannya di rumah untuk tempoh sehingga 12 bulan dengan pematuhan ketat terhadap perintah berkurung.
“Mereka yang layak memperoleh tahanan rumah antaranya pesalah yang sedang menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya sebulan dan sudah menjalani 14 hari hukuman berkenaan.
“Selain itu mereka yang tidak disabitkan dengan kesalahan membawa hukuman mati atau tidak menjalani hukuman penjara seumur hidup, tidak disabitkan antara lain dengan sekurang-kurangnya satu daripada kesalahan termasuk membabitkan pengedaran dadah, rusuhan dengan atau tanpa senjata berbahaya dan cubaan membunuh,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Profesor Nik Ahmad Kamal berkata Menteri Dalam Negeri mempunyai budi bicara untuk mengarahkan penahanan dalam rumah ke atas pesalah bagi salah satu kesalahan berkenaan dengan menimbang beberapa faktor.
“Di Singapura, kesalahan akibat penyelewengan wang masih boleh diberikan kemudahan tahanan di rumah,” katanya.
Beliau berkata bagi pelaksanaan hukuman penahanan dalam rumah di New Zealand, ia antara lain hanya membabitkan pesalah disabitkan penjara bagi tempoh dua tahun atau kurang dari tempoh itu.
Menurutnya bagi Australia pula, pendekatan dilihat lebih longgar dengan penahanan dalam rumah boleh meninggalkan kediaman atas sebab tertentu termasuk program pengajian.
“Walaupun pesalah tidak boleh meninggalkan kediaman tanpa kebenaran, namun ada pengecualian tertentu dengan adanya pas tambahan.
“Namun, mereka tetap dikawal ketat oleh peranti pemantauan elektronik,” katanya.
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, pula berkata pelaksanaan penahanan dalam rumah boleh dilaksanakan walaupun tanpa akta khusus mengenainya, jika Jabatan Peguam Negara (AGC) berpandangan ia termasuk dalam tafsiran lega hukum mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata jika AGC mempunyai pandangan sedemikian, maka mereka perlu mencadangkan satu garis panduan bersesuaian dalam pandangannya kepada Lembaga Pengampunan untuk diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg