JOHOR BAHRU: Polis Johor telah menahan tiga lelaki yang disyaki melakukan jenayah pecah kenderaan termasuk kenderaan bernombor pendaftaran Singapura, di pusat peranginan di Desaru, Kota Tinggi, dalam kejadian pada 6 September, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 36 tahun ditahan dalam operasi ‘Ops Kesan’ di kawasan Masai dan Majidee, di sini, pada 7 dan 8 September.

“Ketiga-tiga suspek ini dipercayai terlibat dalam tujuh kes pecah kenderaan dan curi barangan dalaman kenderaan tersebut di Kota Tinggi pada 6 September.

“Daripada tujuh kes itu, empat membabitkan empat kenderaan bernombor pendaftaran Singapura di tiga pusat peranginan dan rekreasi di Desaru,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada 9 September, lapor Kosmo!.

Terdahulu, media melaporkan tiga kenderaan bernombor pendaftaran Singapura didakwa telah dipecah masuk di kawasan letak kereta sebuah taman tema air di Desaru.

Menurut seorang pengunjung, Encik Syafiq Maselan, yang berkongsi kejadian itu dalam Facebook MY SG Road Trip, mangsa dipercayai menjadi sasaran kerana meninggalkan beg di dalam kenderaan.

Sementara itu, Adventure Waterpark Desaru Coast dalam satu kenyataan berkata pihak pengurusannya sudah mengambil langkah segera untuk memperkukuh keselamatan menyusuli insiden berkenaan.

Datuk Ab Rahaman berkata menyusuli penahanan itu, polis turut merampas sebuah kereta, tiga unit telefon bimbit, tiga unit tablet, sebuah beg galas, dua unit kunci alat kawalan jauh, sebatang pemutar skru dan spanar.

Menurutnya, kesemua suspek tersebut dipercayai menyasarkan kenderaan yang diletakkan di kawasan terpencil dan jauh dari pandangan orang awam.

Katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah metamfetamina.

“Kita masih memburu saki-baki kumpulan tersebut termasuk dalang yang masih bebas.

“Polis Johor memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di negeri ini masih terkawal dan selamat untuk dikunjungi para pelancong, dan jamin perkara ini tidak akan berulang,” katanya.

Kesemua suspek tersebut kini ditahan reman selama empat hari sehingga 11 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat.