Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis kawal agar orang ramai tidak dekati lokasi tanah jerlus Masjid India

Sep 5, 2024 | 5:07 PM
Deretan kedai berhadapan lokasi tanah jerlus di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur telah dibuka semula. Namun, orang ramai diminta jangan mendekati kawasan tanah jerlus itu kerana kerja pemulihan sedang dijalankan.
Deretan kedai berhadapan lokasi tanah jerlus di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur telah dibuka semula. Namun, orang ramai diminta jangan mendekati kawasan tanah jerlus itu kerana kerja pemulihan sedang dijalankan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis menempatkan pegawai dan anggotanya di Jalan Masjid India di sini, bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi tanah jerlus.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata orang ramai diminta jangan mendekati kawasan berkenaan kerana kerja pemulihan masih dijalankan.

“Tanggungjawab polis ialah melakukan kawalan keselamatan dan kita tidak mahu orang ramai meninjau atau membuat kandungan di media sosial di lokasi itu. Kehadiran anggota polis bagi mengawal sekitar lokasi tanah jerlus.

“Kesan daripada tanah jerlus itu dalam kira-kira lapan hingga 10 meter, kita tidak mahu apa-apa terjadi di kawasan berkenaan,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada 5 September, lapor Harian Metro.

Pada 31 Ogos, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India, Cik G Vijaya Lakshmi, yang hilang setelah terjatuh ke dalam lubang tanah jerlus itu pada 23 Ogos ditamatkan pada hari kesembilan kejadian atas faktor keselamatan semua pihak.

Dr Zaliha berkata tindakan selanjutnya di lokasi kejadian tanah jerlus itu akan diteruskan dengan proses pemulihan.

Keluarga Cik Vijaya Lakshmi, 48 tahun, pulang ke India pada 1 September. Sebelum itu, suami dan dua anak beliau menghadiri satu upacara agama Hindu di tempat kejadian.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, berkata proses pemulihan dan pembinaan semula lokasi sekitar insiden itu dijangka memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan.

Beliau berkata kerja pemulihan dan pembinaan semula akan melibatkan laluan sepanjang kira-kira 200 meter dari Wisma Yakin hingga Pondok Polis di Jalan Masjid India.

Kawasan itu, katanya, sekarang ditutup dengan pengadang bagi membolehkan kerja pembaikan dan kajian terperinci dijalankan berhubung sistem utiliti bawah tanah selain beberapa perkara berkaitan oleh agensi dan pihak berkenaan, lapor Malaysiakini.

Beliau menambah bahawa peniaga sekitar lokasi kejadian boleh menjalankan perniagaan seperti biasa, namun orang ramai dinasihatkan jangan melepasi pita kuning yang dipasang polis dan hanya menggunakan laluan pejalan kaki sepanjang proses pemulihan dijalankan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg