Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga pelancong korban tanah jerlus Masjid India pulang ke India

Hadiri upacara agama di tapak insiden sebelum berlepas; kawasan meriah semula, peniaga lega
Sep 2, 2024 | 5:07 PM
Jalan Masjid India di Kuala Lumpur kembali dipenuhi pengunjung lebih seminggu selepas kawasan itu lengang susulan insiden tanah jerlus pada 23 Ogos, yang menyebabkan seorang pelancong wanita warga India hilang..
Jalan Masjid India di Kuala Lumpur kembali dipenuhi pengunjung lebih seminggu selepas kawasan itu lengang susulan insiden tanah jerlus pada 23 Ogos, yang menyebabkan seorang pelancong wanita warga India hilang.. - Foto BERNAMA

Peniaga di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, kini menarik nafas lega apabila kawasan itu mula didatangi pengunjung lebih seminggu selepas insiden malang tanah jerlus yang menyebabkan seorang wanita warga India hilang tanpa jejak.

Pun begitu, peniaga rata-rata bersedia berdepan kemungkinan perniagaan mereka agak perlahan kerana pihak berkuasa memerlukan antara tiga hingga enam bulan untuk membaik pulih tanah jerlus di situ.

Pengunjung, peniaga dan penduduk di Jalan Masjid India masih perlu mematuhi peraturan kawasan larangan, terutama di lokasi tanah jerlus yang sedang dalam pembaikan itu, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini sepanjang fasa carian dan pemulihan.

Selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelancong India, Cik G Vijaya Lakshmi, 48 tahun, ditamatkan pada hari kesembilan insiden tersebut, iaitu 31 Ogos, kawasan sepanjang 100 meter dari Pondok Polis Masjid India ke lokasi kejadian masih dikepung dengan pengadang jalan sebagai langkah keselamatan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, berkata kerja pemulihan dan pembinaan semula akan membabitkan laluan kira-kira 200 meter dari Wisma Yakin hingga pondok polis itu.

Pada masa sama, katanya, kajian terperinci akan dijalankan berhubung sistem utiliti bawah tanah kawasan tersebut untuk mengenal pasti sebarang kelemahan atau kerosakan yang perlu dibaiki.

“Jabatan Mineral dan Geosains pula akan memberikan butiran terperinci tentang laporan teknikal dan kestabilan tanah (sekitar lokasi kejadian),” katanya.

Seorang pekerja kedai emas, Cik Sarine Shamima Bahurdeen, 47 tahun, berkata peniaga lega apabila perniagaan sudah boleh beroperasi seperti biasa, namun setakat ini jumlah pelanggannya masih rendah kerana kedudukan kedainya yang begitu hampir dengan tempat kejadian.

“Syukur kedai dah boleh buka seperti biasa, cuma memang kurang sangat pelanggan kerana mereka kena pusing jauh untuk sampai ke kedai ini. Malah, masih ramai yang takut nak lalu di sini kerana terlalu dekat dengan kawasan kejadian,” katanya kepada Berita Harian.

Seorang peniaga fotokopi dan kedai gambar, Encik Kenny Cheong, 54 tahun, berharap perniagaannya kembali baik selepas seminggu jualan merosot 70 peratus.

Dalam pada itu, dengan hati yang berat dan dirundung kesedihan, keluarga Cik Vijaya Lakshmi pulang ke India pada 1 September melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Suami dan dua anak beliau sempat hadir ke tempat kejadian untuk mengadakan ritual keagamaan dan lambaian selamat tinggal sebelum berlepas.

Dalam kejadian malang pada 23 Ogos itu, Cik Vijaya Lakshmi hilang selepas terperlus ke dalam lubang sedalam 10 meter apabila tiba-tiba berlaku tanah jerlus ketika beliau berjalan di atas siar kaki di situ.

Operasi SAR membabitkan lebih 100 anggota keselamatan telah melaksanakan pelbagai kaedah untuk menjejak Cik Vijaya Lakshmi di dalam tangki pembetung dan loji kumbahan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, namun hanya selipar beliau dapat ditemui.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg