KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Polis Federal Australia (AFP) telah menahan seorang lelaki warga asing dan menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM883,093 ($263,247) dalam serbuan di sebuah kediaman di Ampang Jaya, Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata hasil serbuan itu, polis menemui sejumlah dadah jenis methamphetamine seberat 25.65 kilogram, heroin 717 gram dan botol cecair kimia sebanyak 9,000 mililiter, yang boleh digunakan oleh kira-kira 180,000 penagih dadah.
Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyewa rumah kedai yang kemudiannya dijadikan stor menyimpan dadah.
“Premis ini sebenarnya adalah tempat untuk menyimpan dadah sebelum ia dipasarkan ke luar negara dengan menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Mengulas lanjut, beliau berkata kegiatan itu dipercayai baru saja aktif sejak 2024.
Katanya, JSJN juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek warga asing yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod jenayah mendapati suspek tiada rekod lampau.
“Suspek kini direman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu di Kota Bharu, Kelantan, pasukan polis melupuskan dadah bernilai lebih RM89 juta membabitkan rampasan sejak 1997 sehingga 2024.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata dadah jenis syabu, heroin, pil kuda dan kanabis terbabit sudah melalui proses di mahkamah dan mendapat arahan untuk dilupuskan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata sindiket dadah di Kelantan dikesan berselindung di sebalik perniagaan bagi mengelak kegiatan mereka dikesan polis.
Beliau berkata ketua sindiket berperanan sebagai penaja perniagaan dan hanya berada di belakang sindiket terbabit dengan mengatur pengedaran bekalan dadah kepada pelanggan.
“Tangkapan berkaitan kes dadah pada 2024 juga meningkat 72.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2023. Pada 2023, sebanyak 10,264 tangkapan berkaitan dadah dilakukan, manakala 17,796 tangkapan dibuat dari Januari sehingga Julai 2024,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg