Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kegiatan guna dron untuk seludup dadah masuk penjara di M’sia

Aug 13, 2024 | 3:42 PM
Dadah dan dron yang dirampas dalam cubaan untuk menyeludup bahan terlarang itu ke dalam Penjara Tapah, di Perak.
Dadah dan dron yang dirampas dalam cubaan untuk menyeludup bahan terlarang itu ke dalam Penjara Tapah, di Perak. - Foto PDRM

TAPAH (Perak): Kes cubaan menyeludup dadah ke Penjara Tapah di Perak pada 10 Ogos lalu adalah kejadian ketujuh seumpamanya direkodkan berlaku di beberapa penjara Malaysia pada 2024.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata sindiket dadah kini cuba memperdaya pihak berkuasa dengan menggunakan dron.

Selain insiden terbaru di Perak, beliau berkata terdapat empat percubaan sama dilakukan di penjara di Kedah, Melaka dan masing-masing satu di Kelantan dan Sarawak untuk menyeludup dadah ke dalam penjara menggunakan dron – membawa kepada rampasan dadah jenis heroin, ganja, syabu, pil yaba dan ketamin.

Bagaimanapun kata Datuk Khaw, tiada tangkapan dibuat kerana dron itu dikendalikan dari jarak jauh untuk menyeludup keseluruhan sejumlah 544.02 gram dadah terbabit.

“Perkara ini amat serius, justeru kami telah membentuk pasukan petugas khas untuk menyiasat kes ini bersama Jabatan Penjara untuk menjejak pelakunya,” katanya lapor The Star.

Pada 10 Ogos lalu, pihak polis mengesan cubaan menyeludup barangan dipercayai dadah menggunakan dron ke dalam Penjara Tapah.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 5 petang daripada seorang kakitangan penjara.

Kakitangan penjara terbabit membuat laporan polis selepas menemui sebuah dron berwarna putih di bumbung salah sebuah blok penjara, semasa membuat rondaan pada 11.30 pagi.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan satu beg dobi yang digantung pada dron terbabit.

Mengulas lanjut, Datuk Khaw berkata pihaknya juga akan berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan kebenaran memiliki dan menerbangkan dron di Malaysia.

Sumber yang biasa dengan kes sedemikian berkata dengan langkah kawalan ketat oleh Jabatan Penjara, sindiket dadah telah menggunakan alternatif menerusi dron untuk menyeludup dadah ke dalam kawasan penjara.

Jabatan Penjara dalam kenyataan susulan kejadian itu menegaskan sistem pengesanan antidron dan pemintas teknologi tempatan giat dibangunkan dan diperluas ke seluruh institusi penjara di Malaysia bagi memastikan tiada lagi cubaan menyeludup dadah menggunakan dron.

Jabatan Penjara memaklumkan usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi dan institusi penjara berisiko termasuk Penjara Tapah telah dilengkapi dengan Sistem Anti Dron dan peralatan pemintas bagi mencegah kejadian itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg