JOHOR BAHRU: Dua beranak, selain seorang isteri bersama suaminya yang juga bekas banduan, antara tujuh yang ditahan di Johor selepas disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.
Dalam tiga serbuan berasingan di rumah yang disewa ahli sindiket itu di Johor Bahru, lima individu berusia 28 hingga 59 tahun ditahan pada 31 Julai lalu, membawa kepada rampasan dadah bernilai lebih RM1.85 juta ($550,000).
Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M Kumar, berkata sindiket yang aktif sejak Julai lalu mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran sebelum membungkusnya semula ke dalam pek minuman berjenama terkenal untuk diedar ke pasaran tempatan.
Beliau berkata dalam serbuan pertama, dua suspek pasangan kekasih ditahan yang mana mereka adalah runner kepada tangkapan di serbuan kedua, iaitu ibu dan anak yang juga penyelia dalam sindiket itu. Seorang lagi anggota sindiket ditahan dalam serbuan ketiga.
“Kita syak kepakaran sindiket ini adalah dalam pengedaran ekstasi dengan menyasarkan pasaran tempatan serta pusat hiburan dan boleh digunakan oleh seramai 37,496 penagih, jika terlepas ke pasaran.
“Jika dulu ada sindiket membungkus semula dadah dalam pek minuman jus, sindiket ini pula menggunakan pek minuman tiga dalam satu yang berjenama untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Kumar berkata polis turut menyita empat kereta, sebuah motosikal, wang tunai RM75,506, mata wang dolar Singapura dan Hong Kong serta yuan China, selain pelbagai jenis barang kemas dan jam tangan bernilai RM2.3 juta.
Sementara itu di Muar, polis menahan bekas banduan yang baru enam bulan keluar penjara dan isterinya yang disyaki mengedar dadah dalam serbuan di Panchor, Pagoh, pada 6 Ogos.
Ketua Polis Daerah Muar, Penolong Pesuruhjaya Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya merampas 17 kilogram dadah jenis heroin, syabu, pil eramin dan yaba, bernilai lebih RM467,000 di rumah pasangan itu yang kini ditahan reman.
Encik Raiz Mukhliz berkata polis juga merampas dua kereta dan sembilan motosikal pelbagai jenama, selain barang kemas seperti rantai, cincin dan gelang tangan.
“Semua motosikal terbabit dipercayai milik pelanggan yang tidak mampu membayar dadah yang dijual suspek. Motosikal itu dicagar dan akan dipulangkan semula kepada pemilik sekiranya mereka membayar hutang dadah terbabit,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg