Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis M’sia sahkan rakyatnya ditahan bersama dadah RM116.1j di Hong Kong

Sep 16, 2024 | 12:23 PM
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain.
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia oleh polis Hong Kong bersama sejumlah dadah jenis methamphetamine bernilai HK210 juta (RM116.1 juta/$34.9 juta).

Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, ketika mengesahkan perkara itu berkata tangkapan berkenaan membabitkan seorang lelaki berusia 26 tahun yang beralamat di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Beliau berkata semakan mendapati suspek memiliki satu rekod lampau memiliki dadah dan satu rekod mengambil dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.

Suspek warga Malaysia itu dilaporkan memasuki Hong Kong sebagai pelancong sejak setahun lalu.

“Saya sudah minta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mendapatkan risikan pembabitan rakan sejenayah suspek di Malaysia,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Terdahulu, South China Morning Post (SCMP) melaporkan polis Hong Kong membuat rampasan terbesar kristal methamphetamine bernilai HKD210 juta pada 12 September lalu.

Dadah itu ditemui dalam kontena berisi perabot dengan penghantarannya tiba dari Amerika Syarikat pada 10 September lalu.

Pemangku Superintenden Cheung Hok-fung daripada Biro Narkotik polis Hong Kong mendedahkan, serbuan terbabit menemui 335 kilogram (kg) kristal methamphetamine dan 55 kg kokain yang disembunyikan dalam 25 daripada 245 kotak di dalam perabot.

Encik Cheung dilaporkan berkata sindiket berkenaan mengaturkan sebuah syarikat logistik untuk mengambil kontena dan memindahkan barang-barang itu ke sebuah gudang di Yuen Long, Hong Kong, pada 12 September lalu.

Polis Hong Kong kemudian menyerbu gudang berkenaan pada hari yang sama dan mendapati suspek sedang membuka kotak-kotak barang. Ketika serbuan, pegawai juga menemui sarung tangan dan penimbang elektronik di lokasi kejadian.

Sementara itu di Kuching, Sarawak, polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah dan merampas kira-kira 1.7 kilogram ganja serta 143 pokok ganja dianggarkan bernilai RM3.6 juta di sebuah rumah di Jalan Piasau, Miri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata kededua suspek berusia 41 dan 61 tahun itu menanam benih pokok ganja di kawasan sebuah kediaman secara sulit, dengan benih berkenaan dipercayai dibeli secara dalam talian yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg