Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis M’sia tahan 7 individu buat hantaran hasutan, ugut pemimpin negara

Oct 7, 2025 | 10:08 AM
Polis M’sia, hantaran hasutan, ugutan, jenayah
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia menahan tujuh individu untuk siasatan berhubung hantaran di media sosial berunsur hasutan, ugutan, penghinaan, kenyataan menimbulkan kegentaran awam dan fitnah terhadap pemimpin negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu, berkata semua tangkapan dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 JSJ Bukit Aman, susulan tujuh kes penularan video di aplikasi TikTok dan Facebook antara 17 September dengan 5 Oktober.

Menurutnya, kes pertama membabitkan seorang lelaki tempatan menggunakan akaun TikTok @zollpatv dengan membuat komen berbaur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.

“Kes kedua pula membabitkan seorang lelaki tempatan menggunakan akaun TikTok @saya_alif5 dengan memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap pemimpin negara serta kenyataan yang mengaibkan.

“Kes ketiga membabitkan seorang lelaki tempatan menggunakan akaun TikTok @japajafaruddinshop dengan memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap pemimpin negara berkaitan isu subsidi minyak serta kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata kes keempat membabitkan seorang lelaki tempatan menggunakan akaun TikTok @HonaKia53 dengan memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap pemimpin negara serta kenyataan yang mengaibkan.

“Kes kelima pula membabitkan seorang lelaki tempatan menggunakan akaun TikTok @k_a_m_i_l_2905 dengan memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap pemimpin negara serta kenyataan yang mengaibkan.

“Kes keenam membabitkan seorang lelaki tempatan menggunakan akaun TikTok @tokgompo yang memuat naik hantaran berunsur ugutan terhadap pemimpin negara, manakala kes ketujuh, seorang lelaki tempatan menggunakan akaun Facebook ‘Vincent Naidu’ dengan memuat naik hantaran berunsur hasutan serta kenyataan yang mengaibkan terhadap pihak tertentu,” katanya.

Menurutnya, tangkapan dibuat terhadap tujuh suspek berbeza yang disyaki terbabit dalam semua kes berkenaan dan mahkamah membenarkan tahanan reman antara satu dengan tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau menegaskan PDRM memberi amaran keras terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial atau kandungan digital yang boleh menimbulkan hasutan, ugutan, penghinaan atau menggugat ketenteraman awam.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dikesan melakukan perbuatan sedemikian mengikut peruntukan undang-undang.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah, berdisiplin dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan sebarang kenyataan atau perkongsian di media sosial bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang serta memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg