Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis M’sia tembak mati lelaki culik remaja perempuan 16 tahun

Apr 14, 2025 | 10:26 AM
Pasukan Unit Forensik PDRM melakukan pemeriksaan ke atas mayat dan kenderaan suspek kes culik yang ditembak mati di Bandar Bukit Tinggi, Klang, awal pagi 14 April.
Pasukan Unit Forensik PDRM melakukan pemeriksaan ke atas mayat dan kenderaan suspek kes culik yang ditembak mati di Bandar Bukit Tinggi, Klang, awal pagi 14 April. - Foto NSTP

KLANG (Selangor): Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai terbabit kes penculikan seorang remaja perempuan dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Bayu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi, di sini, awal pagi 14 April.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, suspek berusia 21 tahun memandu kereta jenis Proton Wira yang dikesan digunakan menurunkan mangsa di satu lokasi di Sendayan, Negeri Sembilan, selepas wang tebusan dibayar.

Timbalan Pengarah (Operasi/Risikan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, berkata suspek enggan memberhentikan kenderaannya selepas diarahkan, sebaliknya bertindak merempuh kenderaan polis dan melepaskan tembakan ke arah anggota yang mengejarnya.

“Suspek berjaya dipintas sebelum ditembak mati di tempat kejadian.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan sepucuk pistol dan sebilah parang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi 14 April, lapor Berita Harian Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain seorang suspek ditembak mati, enam lagi individu termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun yang dipercayai terbabit dengan kes ini telah ditahan di sekitar Negeri Sembilan.

Katanya, maklumat terperinci berkenaan kes berkenaan akan dimaklumkan oleh Pengarah JSJ Bukit Aman atau Ketua Polis Selangor dalam masa terdekat.

Datuk Fadil berkata remaja perempuan berusia 16 tahun itu diculik pada 5.45 petang, 10 April lalu di Seremban sebelum keluarganya menerima tuntutan wang tebusan sebanyak RM2 juta ($590,000).

Namun, beliau berkata keluarga mangsa hanya membayar RM280,000 bersama sejumlah barang kemas sebelum mangsa dibebaskan keesokan harinya di Sendayan pada 8.30 malam.

Katanya, hasil siasatan dan maklumat orang awam membawa kepada beberapa siri serbuan dan tangkapan berkaitan kes berkenaan.

“Lelaki ini adalah seorang daripada suspek yang dikenal pasti terbabit kes penculikan ini.

“Selain itu, ada beberapa serbuan dan tangkapan yang kita buat sejurus selepas kejadian, kita masih meneruskan siasatan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Fadil berkata polis turut merakam penghargaan kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat sehingga membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes penculikan berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg