Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis M’sia tembak mati penjenayah Afrika

Aug 21, 2024 | 12:47 PM
Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian berbalas tembakan di Subang Jaya, Selangor, pada 20 Ogos. Seorang penjenayah warga Afrika yang juga individu dikehendaki polis dalam beberapa kes samun ditembak mati dalam kejadian kira-kira 7 petang.
Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian berbalas tembakan di Subang Jaya, Selangor, pada 20 Ogos. Seorang penjenayah warga Afrika yang juga individu dikehendaki polis dalam beberapa kes samun ditembak mati dalam kejadian kira-kira 7 petang. - Foto BERNAMA

SUBANG JAYA (Selangor): Polis menembak mati seorang penjenayah warga Afrika yang disyaki terbabit dalam beberapa kes samun di kawasan PJS, Subang Jaya, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain, yang mengesahkan perkara itu berkata suspek berusia lewat 30-an tahun itu merupakan antara individu yang dikehendaki polis dalam kes samun bersenjata di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata suspek yang dipercayai ahli kumpulan samun yang aktif sejak 2018 ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan PJS 9/1.

“Kita telah jejaki kumpulan ini sejak sekian lama dan suspek bergiat aktif dalam kegiatan samun bersenjata api sejak 2018 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 45 kes melibatkan jumlah kerugian sebanyak hampir RM8 juta ($2.38 juta).

“Terdapat dua kes terbaru dikesan berlaku pada 2024 dan masih dalam siasatan membabitkan kerugian RM32,000,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor portal Malaysia Gazette.

Kata Datuk Shuhaily, kumpulan berkenaan mempunyai senjata api serta berisiko tinggi dan kejadian kira-kira 7 petang 20 Ogos itu turut menyebabkan dua butir peluru yang ditembak suspek lelaki itu terkena pada kenderaan polis.

“Kita jumpa sepucuk pistol jenis Revolver dan suspek melepaskan lima butir peluru ke arah polis, tetapi tiada yang kena pada anggota terbabit.

“Kami masih menjejaki kumpulan samun ini. Kita sudah maklum juga semua pintu keluar negara mengenai suspek ini dan mereka mungkin akan menukar pasport,” katanya.

Datuk Shuhaily berkata risikan terhadap kumpulan berkenaan dilakukan Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor sebelum diselaraskan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Beliau berkata kumpulan yang dipercayai dianggotai kira-kira 10 lelaki warga Afrika lengkap bersenjata serta menyasarkan mangsa melalui urus niaga palsu.

Katanya polis masih mengesan kira-kira 10 baki ahli kumpulan samun itu yang masih bebas.

“Modus operandi ialah mereka interaksi dengan mangsa melalui media sosial sebelum menawarkan transaksi sama ada jual barang kemas dan tukar mata wang asing.

“Mereka akan jumpa (mangsa) di hotel dan suruh mangsa ikut sebelum serang mangsa di jalan raya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg