Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis M’sia tumpaskan 5 kumpulan kongsi gelap, tahan 21 anggota kumpulan jenayah terancang

May 29, 2024 | 4:23 PM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, memaklumkan kejayaan polis Malaysia menumpaskan kumpulan kongsi gelap dan jenayah terancang yang aktif melakukan pelbagai jenayah sejak 2019.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, memaklumkan kejayaan polis Malaysia menumpaskan kumpulan kongsi gelap dan jenayah terancang yang aktif melakukan pelbagai jenayah sejak 2019. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia berjaya menumpaskan lima kumpulan kongsi gelap dengan tertangkapnya 21 anggota kumpulan jenayah terancang dalam serbuan Operasi Lima (Op Lima) oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Dengan penahanan itu, seramai 20 lelaki berumur antara 26 hingga 51 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor, pada 29 Mei, atas tuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang ‘Geng TR’ sejak 2019.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata semua 21 ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08, Geng 21, Geng 18, Geng 24 dan Geng 36 diberkas dalam serbuan sekitar Johor, Pahang dan Selangor bermula 3 hingga 30 Mei lalu.

Beliau berkata kesemua mereka dikesan aktif dalam kegiatan bunuh, dadah, pemerasan dan melakukan khianat dengan menggunakan api.

“Semua mereka dari lima kumpulan berbeza ini didapati aktif dalam kegiatan jenayah terancang di sekitar Selangor sejak lima tahun lalu.

“Pada masa ini kita mengesyaki sekurang-kurangnya 10 lagi anggota daripada lima kumpulan yang sama sudah lari menyembunyikan diri apabila menyedari anggota lain sudah diberkas,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Semua tertuduh hanya mengangguk faham sejurus tuduhan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan, dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahya.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Datuk Mohd Shuhaily berkata seramai 18 anggota kumpulan terbabit ditahan di bawah Sosma dan akan ditahan selama 28 hari manakala dua lagi dikenakan tahanan reman.

“Hari ini 18 daripada mereka dituduh di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Klang, manakala dua lagi individu disambung reman.

“Seorang daripada mereka akan direman dalam masa terdekat selepas disahkan mengalami masalah kesihatan akibat jantung selepas dihantar ke Institut Jantung Negara,” katanya.

Menurut Datuk Mohd Shuhaily pada masa sama JSJ Bukit Aman menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) dan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) sedang giat mengesan saki-baki anggota kumpulan kongsi gelap itu dalam usaha memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara.

Beliau turut mengulas mengenai modus operandi lima kumpulan jenayah terbabit yang dianggap berbeza berbanding sebelum ini.

“Pada masa ini mereka tidak lagi melakukan upacara angkat sumpah seperti kumpulan kongsi gelap lain sebaliknya hanya memberi arahan tugasan kepada setiap anggotanya.

“Sebagai contoh, ketua atau pemimpin sebuah kumpulan akan mengarahkan anggotanya melakukan tugas pemerasan, pengedaran dadah atau melakukan pembunuhan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg