KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas sebanyak 88.816 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 171.755 kg dadah jenis ketamin dalam serbuan di Batu Caves, Selangor, pada 9 Februari.
Keseluruhan dadah bernilai RM11.43 juta ($3.47 juta) itu dilaporkan mampu menampung 1.02 juta penagih dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata serbuan ke atas sebuah kondominium di Batu Caves itu dijalankan selepas pihaknya melakukan pemerhatian terhadap seorang lelaki yang berperanan sebagai penjaga stor sejak awal Januari.
“Dalam serbuan antara 2.30 petang hingga 4.30 petang itu, pegawai dan anggota JSJN menahan suspek berusia 31 tahun ketika dia keluar dari lif unit kediaman kondominium berkenaan di kawasan tempat letak kereta.
“Polis kemudian membawanya ke sebuah kereta sebelum menemui lima beg mengandungi 50 bungkusan peket teh Cina mengandungi dadah syabu di tempat duduk belakang dan 32 bungkusan dadah jenis ketamin di bahagian bonet belakang.
“Dengan dipandu arah suspek, polis kemudian melakukan pemeriksaan di satu unit kediaman di tempat sama sebelum menemui enam guni mengandungi bungkusan dadah jenis syabu dan ketamin,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, pada 10 Februari, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Khaw berkata hasil siasatan sindiket dadah ini beroperasi sejak Disember 2024 untuk membekalkan dadah ke pasaran tempatan.
“Kita percaya dadah ini diperoleh dan dibawa masuk dari utara tanah air sebelum disimpan di lokasi serbuan dan menunggu pesanan untuk diedarkan ke pembeli di pasaran tempatan.
“Tumpuan kami pada masa ini adalah mengesan rangkaian sindiket ini termasuk ketua kumpulan yang masih bebas serta mereka yang berkaitan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Khaw berkata pihaknya tidak pernah meletakkan kejayaan dalam menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI).
“Matlamat utama kami sejak saya mengetuai JSJN adalah menghapuskan sebarang aktiviti berkaitan dadah yang boleh merosakkan bangsa dan negara.
“Saya yakin dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh setiap pegawai dan anggota JSJN di seluruh Malaysia, kejayaan pasti akan dicapai dan sindiket pengedaran dadah dapat ditumpaskan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg