KUALA LUMPUR: Gurauan secara keterlaluan dipercayai menjadi motif seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) cedera ditekap seterika oleh kadet senior dalam kejadian pada 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata siasatan mendapati tiada unsur dendam dan pergaduhan dalam kejadian kira-kira 11.45 malam itu.
“Sebaliknya, kejadian berlaku tanpa motif apabila suspek bertanya kepada mangsa berusia 21 tahun sama ada pernah cuba atau tidak (seterika) yang panas.
“Tiada motif sebenarnya, tidak ada dendam, pergaduhan atau buli. Hanya bergurau, nak kata ragging (buli) tak juga, itu bukan ragging.
“Apabila ada benda-benda berbahaya seperti senjata atau barang panas jangan sesekali bermain (bergurau), ini kali pertama mangsa kena,” katanya lapor Harian Metro.
Kejadian penuntut ditekap seterika seumpama itu adalah yang kedua dilaporkan di media berlaku di universiti itu.
Pada 2017, seorang pegawai kadet laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21 tahun, maut selepas dibuli dengan 90 tekapan seterika wap oleh enam penuntut universiti itu.
Mengulas lanjut, Datuk Rusdi berkata kertas siasatan berhubung kejadian itu juga sudah diserahkan Jabatan Peguam Negara dan pihaknya sedang menunggu arahan lanjut.
“Laporan perubatan masih belum diperoleh. Laporan perubatan boleh digunakan oleh siasatan dan pendakwaan.
“Tapi setakat ini kita belum terima, namun itu tidak menghalang untuk kita katakan kertas siasatan sudah lengkap,” katanya.
Berhubung tiada tangkapan dilakukan, beliau menjelaskan ini kerana pihaknya sudah memperoleh bahan bukti dan keterangan daripada semua yang terbabit.
“Ia bergantung kepada kes, dalam mana-mana siasatan tidak semestinya ditangkap pada masa itu, boleh juga ditangkap dan terus tuduh di mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengulas kejadian itu, berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes buli berkenaan.
Beliau menegaskan budaya buli di universiti perlu dihentikan kerana ia menyebabkan penganiayaan kepada mangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg