Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis sahkan bekas penjaga gol Kelantan suspek kes bunuh warga M’sia di Golok

Nov 3, 2025 | 4:05 PM
Kelantan, penjaga gol, tembak
Cik Zaiton Abdul Rahman, 64 tahun, menunjukkan gambar menantunya, Wan Fatihah Mat Husin, 35 tahun, bersama anaknya, Allahyarham Mohd Fuad Fahmie, 33 tahun, yang maut akibat ditembak individu dikenali di rumahnya di Golok, Thailand, pada 1 November 2025. - Foto NSTP

KOTA BHARU (Kelantan): Bekas pemain bola sepak Kelantan yang didakwa terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki warga Malaysia di bandar Sungai Golok, Thailand, 1 November lalu, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai penjaga gol pasukan bola sepak Kelantan sebanyak dua kali pada 2014 dan 2019.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata suspek berusia 31 tahun pernah bermain untuk skuad Piala Presiden Kelantan pada 2014 dan kemudian menyertai pasukan senior Kelantan FC lima tahun kemudian.

Beliau berkata polis di Kelantan tidak terbabit secara langsung dalam siasatan kes itu kerana suspek adalah warga Thailand.

“Apa yang saya boleh sahkan ialah saya mendengar khabar dia menyerah diri kepada polis Thailand, malam tadi (2 November).

“Namun kami masih belum menerima laporan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand mengenai penangkapannya,” katanya, lapor Harian Metro.

Berita penahanan suspek oleh polis Thailand tular di media sosial sejak malam 2 November.

Bagaimanapun setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa Thailand berhubung perkara itu.

Difahamkan, selain Kelantan, suspek juga pernah bermain sebagai penjaga gol untuk pasukan Yala United FC dan PT Prachuap FC dalam Liga Thailand.

Datuk Mohd Yusoff berkata kes itu akan ditangani sepenuhnya oleh pihak berkuasa Thailand kerana kejadian berlaku dalam bidang kuasa mereka.

Sebelum ini Datuk Mohd Yusoff, berkata suspek kes tembak mati rakyat Malaysia di Sungai Golok adalah bekas pemain import bola sepak Kelantan.

“Kita percaya suspek juga memiliki dua kerakyatan tetapi siasatan lanjut akan diteruskan. Setakat ini, kita belum menerima gambar suspek daripada pihak berkuasa Thailand,” katanya.

Akhbar Malaysia, New Straits Times (NST) melaporkan Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Jetsadawit Inpraphan, berkata suspek berusia 31 tahun telah ditahan pada petang 2 November dan merampas dua pistol daripada suspek.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam 1 November, mangsa, Allahyarham Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33 tahun, yang juga peniaga beg dan batu permata, maut selepas dipercayai terkena 18 das tembakan oleh dua individu dikenali di rumahnya di Golok, Thailand.

Mangsa yang cedera parah dan disahkan meninggal dunia pada 9 malam 1 November, ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.

Sementara itu ibu Allahyarham, Cik Zaiton Abdul Rahman, 64 tahun, berkata beberapa bulan lalu beliau beberapa kali memujuk anak lelakinya itu tinggal di Pasir Mas, Kelantan, seketika kerana sering menerima ancaman dipercayai daripada individu yang menembaknya.

Cik Zaiton berkata malah pasukan keselamatan termasuk polis Thailand juga turut menasihatkan anaknya agar berpindah sementara berikutan ugutan yang diterima, namun mangsa enggan.

“Apabila sering diancam termasuk melepaskan tembakan amaran di rumah, polis Thailand menasihatkan supaya Mohd Fuad pulang ke Malaysia seketika supaya keadaan reda.

“Namun dia enggan dan tidak takut dengan ancaman suspek dan setiap kali diminta supaya pulang, arwah sentiasa berkata ayat yang sama iaitu di mana-mana saja boleh mati,” katanya.

Cik Zaiton berkata isu tidak puas hati di antara arwah anaknya dengan suspek yang memiliki pertalian kekeluargaan dengan isteri mangsa sudah lama berlaku dan bukannya perkara baru.

Sementara itu isteri mangsa, Wan Fatihah Mat Husin, 35 tahun, masih trauma dan menyifatkan pembunuh sangat kejam apabila menembak suaminya bertalu-talu.

“Saya yang melihat suami rebah terus memeluknya, namun pembunuh masih melepaskan tembakan sehingga habis peluru,” katanya yang sarat mengandung.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg