Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 lelaki maut ditembak depan pusat beli belah di KL

Jun 17, 2025 | 11:31 AM
Polis menjalankan siasatan selepas dua lelaki maut ditembak sekumpulan suspek di hadapan sebuah pusat beli belah dekat Cheras, Kuala Lumpur, pada tengah malam 17 Jun.
Polis menjalankan siasatan selepas dua lelaki maut ditembak sekumpulan suspek di hadapan sebuah pusat beli belah dekat Cheras, Kuala Lumpur, pada tengah malam 17 Jun. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Dua lelaki maut ditembak sekumpulan suspek di hadapan lobi sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, Kuala Lumpur, pada tengah malam 17 Jun.

Ia adalah kejadian tembakan maut kedua di ibu negara dalam tempoh empat hari, selepas insiden di Brickfields, Kuala Lumpur, yang mana seorang lelaki maut dan dua lagi cedera di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, kira-ira 10.50 malam, 13 Jun lalu.

Dalam kejadian terbaru sekitar 12.15 malam itu, kededua mangsa dilaporkan sedang menuju ke arah kereta yang diletakkan di perkarangan pusat beli-belah berkenaan.

Menurut saksi, sekumpulan lelaki yang memakai topi keledar secara tiba-tiba berlari ke arah kedua-dua mangsa yang pada ketika itu berada di bahagian luar perkarangan pusat beli-belah.

“Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sehingga kedua-dua mereka terbaring berlumuran darah.

“Kedua-dua mangsa itu yang ditembak pada bahagian badan dan kepala meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM) yang berada di lokasi kejadian.

Kumpulan lelaki terbabit yang dilapor bersenjatakan pistol kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Alza.

Tinjauan BHM di tempat kejadian mendapati mayat kededua mangsa terbaring dalam jarak lima meter di hadapan kenderaan mereka. Berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 40-an, berasal dari Sibu, Sarawak.

Polis Kontinjen Kuala Lumpur dilaporkan sedang mengumpul maklumat daripada saksi kejadian serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti identiti suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian terawal pada 13 Jun itu, seorang lelaki tempatan terbunuh, manakala dua lagi rakannya cedera selepas ditembak seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Ketika kejadian itu, mangsa yang maut bersama beberapa rakan sedang minum di restoran dekat Jalan Tun Sambathan, sebelum didatangi suspek bersenjatakan pistol. Dua lagi mangsa cedera parah dan cedera ringan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg