GOMBAK (Selangor): Polis merampas 222.331 kilogram syabu bernilai RM7.1 juta ($2.16 juta) dalam serbuan di sebuah gudang penyimpanan kereta di sini pada 14 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Penolong Pesuruhjaya Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata pihaknya membuat serbuan di gudang berkenaan pada kira-kira 9.30 malam dan menemui 212 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis syabu berkenaan dalam sebuah kereta Toyota Vios yang ditinggalkan di gudang itu.
“Siasatan lanjut dilakukan membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini pada 29 Mei.
Encik Noor Ariffin berkata pihaknya percaya semua dadah dirampas itu diperoleh dari negara jiran bagi pasaran sekitar Lembah Klang.
“Semakan dilakukan mendapati suspek yang bekerja sebagai penjual kereta terpakai itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian air kencingnya negatif dadah.
“Polis sedang mengesan saki baki sindiket ini. Suspek direman 12 hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya menahan pasangan kekasih bersama rampasan dadah ganja seberat 2.072 kilogram yang ditemui dalam sebuah kereta Honda City di Desa Jaya, di sini pada 27 Mei.
“Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun bersama kekasihnya wanita tempatan berusia 47 tahun.
“Pemeriksaan dilakukan dalam kenderaan itu menemui dua plastik berisi daun kering dipercayai ganja seberat 2.072 kilogram dianggarkan bernilai RM6,423.
“Siasatan awal dilakukan mendapati dadah berkenaan dipercayai bagi pasaran di sekitar daerah ini,” ujarnya.
Encik Noor Ariffin berkata suspek lelaki yang ditahan adalah penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara itu dan masuk ke Malaysia sejak 2016, manakala suspek wanita pula bekerja sebagai eksekutif insurans.
“Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek tiada rekod kesalahan lampau dan ujian air kencing mereka negatif dadah.
“Keseluruhan dadah dirampas bagi kedua-dua kes berkenaan boleh dibekalkan kepada 226,475 penagih dadah,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg