Pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat dua insiden di taman tema di Selangor dan Melaka, yang menyebabkan sekurang-kurangnya 12 individu cedera.

Di Selangor, pengasas Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah, mengesahkan insiden kemalangan membabitkan permainan roller coaster di Sunway Lagoon, Subang Jaya, Selangor, pada malam 22 Ogos lalu, menurut New Straits Times (NST).

Di Melaka pula, dua wanita cedera dan pengsan selepas dipercayai tercampak keluar daripada pelampung ketika menaiki gelongsor air Tornado Chaser dan Pendulum di taman tema dan resort Melaka Wonderland, di Ayer Keroh, kira-kira 2.30 petang pada hari sama.

Tan Sri Jeffrey dilaporkan berkata pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Ia satu insiden yang amat kami kesali. Kami bernasib baik kerana ia tidak membabitkan kehilangan nyawa.

“Pada pandangan saya, insiden ini mungkin berpunca daripada kerosakan pada struktur logam (metal fatigue),” katanya yang turut memaklumkan bahawa polis menolak sebarang unsur sabotaj atau perbuatan khianat berkait kejadian itu.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Wan Azlan Wan Mamat, dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian di Sunway Lagoon itu pada 11.45 pagi 23 Ogos.

Menurutnya hasil siasatan awal mendapati 22 penumpang menaiki permainan terbabit terdiri daripada warga tempatan dan pelancong asing berusia lingkungan 11 hingga 44 tahun.

“Kemalangan itu mengakibatkan 10 mangsa mengalami cedera ringan dan mereka dibawa ke pusat perubatan di sekitar daerah Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Penolong Pesuruhjaya Halim Abas, berkata dua mangsa dilaporkan mengalami pendarahan di kepala serta gegaran otak.

Beliau berkata mangsa dipercayai tercampak keluar daripada pelampung ketika menaiki gelongsor air Tornado Chaser dan Pendulum di taman tema dan resort di Ayer Keroh, dan kini mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

Menurut beliau, mangsa, Cik Razita Abd Razak, 46 tahun, cedera di bawah dagu, sakit kepala dan dada serta luka pada lutut kanan, selain hasil imbasan tomografi berkomputer (CT scan) mendapati terdapat sedikit darah beku di bahagian kanan kepalanya.

Sementara sepupu Cik Razita, Cik Norfazlin Badrol Hisham, 31 tahun, dilaporkan mengalami gegaran otak selepas pengsan ketika menuruni gelongsor berkenaan, namun tidak mengalami kecederaan lain.

Dalam pada itu Pengurus Besar Tourism Melaka, Encik Nasrul Ahmad, dalam perkongsian di media sosial rasmi agensi itu turut menziarahi Cik Razita di Hospital Melaka, menyusuli kejadian berkenaan.

Beliau mengingatkan pengusaha taman tema dan pusat pelancongan di Melaka agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan pengunjung.

“Pemeriksaan dan penyelenggaraan fasiliti serta peralatan perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat dan berfungsi dengan baik,” katanya.