Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis tahan wanita didakwa menetap setahun dalam KLIA

Dec 23, 2025 | 5:25 PM
Tangkap layar video tular menunjukkan wanita yang didakwa menetap di dalam kawasan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)sSejak setahun lalu bersama barangan miliknya.
Tangkap layar video tular menunjukkan wanita yang didakwa menetap di dalam kawasan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)sSejak setahun lalu bersama barangan miliknya. - Foto tular HARIAN METRO

SEPANG (Selangor): Wanita yang dikatakan menetap dalam kawasan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor, sudah ditahan polis dan disahkan warga tempatan yang mempunyai kad masalah kesihatan mental.

Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintenden Albany Hamzah, berkata pihaknya telah menahan wanita berusia 40-an tahun itu selepas berlaku kekecohan di terminal berkenaan pada 18 Disember lalu.

“Kekecohan berlaku di satu kawasan dalam KLIA membabitkan wanita berkenaan dengan beberapa individu lain dan anggota bertugas bergegas ke tempat kejadian untuk tindakan lanjut. Wanita itu kemudian dibawa ke balai polis.

“Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu mempunyai kad masalah mental dan mengambil kira perkara itu, polis kemudian menghantarnya ke Hospital Kajang, Selangor, untuk pemeriksaan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

Encik Albany berkata tindakan itu dibuat bagi memastikan kesejahteraan semua pihak termasuk wanita berkenaan, namun pihaknya tidak dapat mengesahkan sudah berapa lama individu itu tinggal di KLIA.

Beliau berkata pihaknya tiada maklumat berhubung perkara itu dan tindakan diambil selepas berlaku kekecohan itu.

“Setakat ini juga polis tidak membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan wanita itu diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, rakaman video memaparkan wanita yang dikatakan tinggal di dalam kawasan terminal KLIA sejak setahun lalu dilihat ditenangkan beberapa individu selepas memarahi kanak-kanak yang didakwa bermain dan membuat bising di kawasan itu, tular di media sosial

Difahamkan, wanita terbabit menjadikan kawasan terminal KLIA sebagai kediaman, termasuk untuk tidur dan mandi, serta bergantung sepenuhnya pada kemudahan awam seperti bekalan air dan WiFi.

Rakaman video turut mendedahkan beberapa barangan peribadi milik wanita berkenaan di kawasan itu.

Video itu menarik perhatian dan mencetuskan pelbagai reaksi warganet yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera kerana KLIA adalah tempat transit, bukan kediaman.

Sementara itu, KLIA memaklumkan pihak berkuasa sudah mengambil maklum kejadian berkenaan dan meminta kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg