Sentimen pengundi serta peratusan keluar mengundi dijangka menjadi penentu calon yang akan memenangi pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor, pada 28 September.
DUN Mahkota dalam Parlimen Kluang itu mempunyai seramai 66,318 pengundi berdaftar, dengan 54 peratus pengundi Melayu, 34 peratus pengundi Cina manakala 8 peratus pengundi India.
Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon muda, Ketua Pemuda Umno Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40 tahun, untuk mengekalkan legasi kerusi DUN Mahkota.
Perikatan Nasional (PN) pula menamakan bekas pemain bola sepak Johor, Encik Mohamad Haizan Jaafar, 61 tahun, sebagai calon bagi merampas kerusi berkenaan.
Walau calon BN dilihat berdepan cabaran sentimen pengundi terhadap kontroversi perdebatan pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan berhubung isu pensijilan halal sebelum ini, peluang kemenangan buat parti itu lebih cerah berdasarkan prestasi Johor sebagai kubu kuat BN, selain penguasaan kerusi DUN Mahkota selama tiga penggal sebelum ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyatakan kebimbangan terhadap sokongan pengundi Cina, dipercayai terkait perdebatan antara Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, dengan Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Cik Teresa Kok, dalam isu pensijilan halal.
Ahli Parlimen (AP) Kluang, Cik Wong Shu Qi, pula dilaporkan bimbang masih ramai pengundi luar DUN Mahkota terutama yang bekerja di Singapura tidak mengetahui akan berlangsungnya PRK DUN Mahkota pada 28 September.
Justeru beliau menyeru kepulangan pengundi luar dan memohon masyarakat menghebahkan PRK itu kepada ahli keluarga dan kenalan yang bekerja di Singapura untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Sepanjang tempoh kempen, calon BN dan PN giat turun padang bertemu pengundi dan menggariskan wawasan khidmat mereka sekiranya memenangi kerusi DUN Mahkota.
Walaupun cuba dilemahkan oleh pihak lawan yang mengaitkannya dengan kes gaduh, Syed Hussien yakin ia tidak menggoyahkan sokongan pengundi.
Kenyataan polis juga telah membersihkan imej Syed Hussien yang disahkan tidak mempunyai sebarang rekod sabitan jenayah.
“Alhamdulillah, sokongan pengundi terhadap BN sangat positif. Saya terima banyak cadangan penambahbaikan untuk DUN Mahkota dan insya-Allah saya tidak akan sia-siakan kepercayaan pengundi jika menang,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Mohamad Haizan pula berharap pengundi memberi kepercayaan kepadanya untuk menangani isu berkaitan ekonomi setempat, kebajikan penduduk, dan pembangunan belia melalui sukan dengan memastikan kemenangannya pada PRK itu.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarhamha Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63 tahun, pada 2 Ogos lepas akibat pendarahan dalaman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg