JOHOR BAHRU: Kesemua kaunter di dua pintu masuk ke Malaysia di Tambak Johor dan Linkedua dibuka sepenuhnya bagi memudahkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor, yang bekerja atau tinggal di Singapura pulang mengundi pada 28 September ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri komited memastikan urusan pengundi yang hendak pulang dipermudah di pintu masuk negara.
“Saya sudah berhubung dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk pastikan kaunter di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, beroperasi pada tahap maksimum bermula pada Jumaat ini (27 September).
“Ia bagi melancarkan pergerakan perjalanan pulang pengundi ke Mahkota mulai Jumaat dan Sabtu.
“Ini penting bagi memudahkan pengundi DUN Mahkota pulang menjalankan tanggungjawab mereka.
“Saya merayu kepada ribuan pengundi yang bekerja di Singapura untuk pulang mengundi,” katanya, lapor Harian Metro.
Datuk Onn menambah, setiap undi adalah penting untuk menyuburkan lagi sistem demokrasi negara ini.
“Dalam masa yang sama banyak dibuat kerajaan negeri dibantu kerajaan pusat untuk memudahkan anak Johor iaitu hampir 300,000 yang berulang-alik ke Singapura pada setiap hari.
“Ia termasuklah dari segi kemudahan pengangkutan awam, penambahan kaunter, penambahan pegawai imigresen, menaiktaraf infrastruktur dan sistem.
“Saya minta supaya Sabtu ini (28 September), turunlah ke DUN Mahkota, pulanglah sebentar untuk menunjukkan perpaduan kita terhadap usaha yang dibuat selama ini,” katanya dalam sidang media di kediaman rasminya di Saujana pada 24 September, lapor Berita Harian Malaysia.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, dengan Perikatan Nasional (PN), Encik Mohamad Haizan Jaafar.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63 tahun, pada 2 Ogos.
DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar, dengan 20 pusat mengundi biasa akan dibuka pada 28 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg