KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), secara rasmi, diterima sebagai parti komponen baharu bagi gabungan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kemasukan dua parti itu diputuskan dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN, yang berlangsung selama dua jam pada 22 Jun.

“Mesyuarat tadi membincangkan dua agenda sahaja. Pertama, keanggotaan PN dan kedua mengenai agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Bagi agenda pertama, mesyuarat setuju meluluskan permohonan parti Pejuang dan PCM untuk menganggotai PN,” katanya, pada sidang media di Pejabat Agung Parti Islam SeMalaysia (PAS), pada 22 Jun.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai keanggotaan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Ahmad Samsuri berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Wawasan ditubuhkan susulan krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang menyaksikan Pengasas Gerakan Reset, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilantik, sebagai Presiden, manakala jawatan Pengerusi diberikan kepada tokoh politik veteran, yang juga bekas menteri, Tan Sri Rais Yatim.

Kepimpinan pusat parti itu diterajui gabungan tokoh politik veteran, bekas menteri, Ahli Parlimen dan golongan profesional, lapor Harian Metro.

Sementara itu, Datuk Ahmad Samsuri berkata PN telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang dipengerusikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Jelasnya, jawatankuasa itu bertanggungjawab membincangkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang akan ditandingi pada pilihan raya itu kelak.

Katanya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang juga Setiausaha Agung PN, dilantik sebagai setiausaha jawatankuasa berkenaan, yang akan mengadakan mesyuarat khas pertama pada 23 Jun.

“Setiap parti komponen akan menghantar dua wakil dalam jawatankuasa ini.

“Rundingan agihan kerusi akan berlangsung esok (23 Jun), ia akan diselesaikan segera (dan ia) mustahak... (ini) bagi menghadapi hari penamaan calon pada Sabtu (27 Jun) ini,” katanya.

Bagaimanapun, Datuk Ahmad Samsuri berkata parti Pejuang dan PCM, yang secara rasmi menganggotai gabungan itu, tidak terbabit dalam rundingan berkenaan.

Mengenai penggunaan logo PN bagi PRN akan datang, beliau memaklumkan perkara itu belum lagi dibincangkan.