Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Melaka: Anwar gesa calon PH tangkis fitnah, hasutan perkauman untuk menang
PH pertaruh calon di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada tiga parti komponen
PRN Melaka: Anwar gesa calon PH tangkis fitnah, hasutan perkauman untuk menang
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh calon dan jentera parti itu, bekerja keras bagi meraih kepercayaan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, 14 November depan.
Menerusi hantaran di Facebook pada malam 25 Oktober, Datuk Anwar yang juga Perdana Menteri Malaysia, berkata segala fitnah dan hasutan perkauman perlu ditangkis, menerusi pencapaian serta khidmat bakti kepada rakyat.
“Ayuh seluruh calon dan jentera PH, galas amanah dalam PRN Melaka dengan kerja keras.
“Mudah-mudahan keikhlasan dan kesungguhan kita mampu mencipta sejarah di bumi Melaka serta menggerakkan pembaharuan demi masa depan yang lebih adil, makmur dan bermaruah,” kata Datuk Anwar, lapor Berita Harian Malaysia.
Untuk PRN Melaka kali ini, PH mempertaruhkan calon di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada tiga parti komponennya – Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Jumlah itu menurun berbanding meletakkan calon di semua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka 2021 yang lalu.
Dengan itu, PH dijangka menjalin kerjasama politik dengan parti lain untuk menghadapi PRN Melaka, namun sehingga kini rakan kerjasamanya itu belum didedahkan.
Timbalan Pengerusi PH Melaka, Encik Khoo Poay Tiong, menyifatkan strategi PH bertanding di kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, memberikan ruang kepada gabungan itu untuk bersaing dengan kompetitif pada PRN Melaka akan datang.
Beliau, yang juga Pengerusi DAP Melaka, berkata keputusan dibuat Majlis Presiden PH itu perlu diterima kerana ia diputuskan kepimpinan gabungan parti berkenaan.
Katanya, jumlah kerusi yang ditandingi PH juga tidak berbeza daripada Barisan Nasional (BN) yang turut meletakkan calon di 21 kerusi pada PRN kali ini.
“Ini keputusan Majlis Presiden PH, jadi kita kena terima dan yakin strategi ini boleh membawa kemenangan, seperti yang disebutkan Pengerusi PH Melaka, Encik Adly Zahari sebelum ini.
“Kalau kita lihat, Barisan Nasional (BN) sendiri pun bertanding di 21 kerusi sahaja, jadi itu bukan perkara baharu,” katanya, selepas mengetuai pembelian tujuh borang pencalonan DAP di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dekat Hang Tuah Jaya, Melaka, pada 26 Oktober.
Encik Adly sebelum ini berkata PH perlu menang lebih 30 peratus undi Melayu untuk berpeluang memenangi sebahagian besar kerusi pada PRN Melaka.
Beliau berkata di peringkat akar umbi, terdapat banyak kerusi PH yang berpotensi menyaksikan persaingan sengit.
Katanya, negeri itu juga mempunyai banyak kerusi campuran dan pihaknya sedia maklum cabaran politik identiti turut memainkan peranan penting.