Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Melaka: Hari pengundian tiba, sejauh mana isu tahanan rumah Najib pengaruhi pengundi?
PRN Melaka: Hari pengundian tiba, sejauh mana isu tahanan rumah Najib pengaruhi pengundi?
Tumpuan jurus pada saingan dua sekutu Kerajaan Perpaduan yang bakal menjadi musuh – PH dengan BN – bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan
PRN Melaka: Hari pengundian tiba, sejauh mana isu tahanan rumah Najib pengaruhi pengundi?
Persaingan kempen antara parti politik di Melaka sejak dua minggu lalu kini memasuki fasa penentuan apabila lebih 675,000 pengundi berdaftar layak memilih wakil rakyat masing-masing pada hari pengundian 14 November.
Ia sekali gus akan menentukan parti politik yang akan menerajui Kerajaan Negeri bagi penggal seterusnya.
PRN itu menyaksikan percaturan parti-parti bertanding, terutama dua blok politik utama yang menjadi sekutu dalam Kerajaan Persekutuan, tetapi menjadi seteru di Melaka – Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Barisan Nasional (BN) pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi – dalam merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Penganalisis politik melihat PRN Melaka kali ini sebagai cabaran besar buat Datuk Anwar untuk memperbaiki prestasi hambar partinya dalam dua PRN terdahulu di Johor dan Negeri Sembilan masing-masing pada Julai dan Ogos lalu, ketika BN dilihat mempunyai laluan mudah untuk mengekalkan penguasaannya di Melaka.
‘Pembebasan’ bekas Perdana Menteri dari Umno, Encik Najib Tun Razak, daripada Penjara Kajang, Selangor, ke kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur, pada 10 November lalu, untuk menjalani baki hukuman penjara kes SRC International Sdn Bhd, sebagai tahanan rumah telah mencetuskan reaksi bercampur-campur dalam kalangan masyarakat.
Justeru banyak pihak mengandaikan sentimen yang pelbagai di lapangan boleh mempengaruhi undi terutama buat PH dan BN.
Malah, isu tahanan rumah bekas Presiden Umno itu turut menjadi sebahagian naratif kempen politik parti bertanding, terutama PH dan BN, namun dengan pendekatan yang berbeza.
PH terus mengangkat prinsip integriti dan perjuangan membanteras rasuah, dengan Datuk Anwar dalam kempen grand finale PRN di Melaka pada malam 12 November, menyeru pengundi menolak parti yang menyanjung pemimpin yang dikaitkan dengan penyelewengan dan rasuah.
Sementara BN pula membangkitkan persoalan berkaitan penghormatan terhadap institusi diraja dengan memainkan naratif bahawa peletakan jawatan Kabinet oleh Menteri Pengangkutan dari PH, Encik Anthony Loke, dan pertikaian berterusan pemimpin parti itu terhadap keputusan pengampunan bersyarat Encik Najib sebagai penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Naratif BN itu turut menyentuh tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) membawa isu pelaksanaan hukuman tahanan rumah yang dipersetujui Agong itu ke mahkamah, menyusuli persoalan undang-undang dan teknikal yang timbul.
Bagaimanapun, penganalisis melihat isu tahanan rumah Encik Najib bukan faktor utama yang bakal menentukan keputusan PRN Melaka, sebaliknya kekuatan calon, pengaruh parti di peringkat tempatan serta kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) dijangka lebih mempengaruhi corak pengundian.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Encik Muhammad Ariff Asyrul Adnan, berkata isu berkait Encik Najib mungkin memberi sedikit kelebihan kepada Umno daripada sudut sentimen penyokongnya, namun tidak semestinya membawa perubahan besar terhadap keputusan PRN kali ini.
Beliau mengakui imej bekas Ahli Parlimen Pekan itu terbukti mampu memberi kesan positif kepada prestasi Umno, termasuk dalam PRN Melaka 2021 dan PRN Johor pada Februari 2022, apabila Encik Najib turun berkempen.
Namun, isu tahanan rumah itu menurutnya bukan penentu utama kerana pengundi Melaka lebih cenderung menilai faktor setempat dan populariti calon yang bertanding.
“Jujurnya saya melihat isu Datuk Seri Najib dalam konteks PRN Melaka ini tak beri impak sangat sebenarnya.
“Sebab kita tahu yang akan dapat laba pun hanya Umno kerana berjaya memperjuangkan pengurangan hukuman untuk Datuk Najib,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Pandangan sama turut dikongsi penganalisis politik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Husain Yusri Zawawi, yang berpendapat kes Encik Najib tidak wajar dijadikan ukuran langsung terhadap kecenderungan pengundi di PRN Melaka.
Beliau berkata proses pengampunan Encik Najib adalah di bawah bidang kuasa Agong selepas bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman melalui proses undang-undang.
Justeru katanya, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pertikaian politik.
“Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan isu itu mengukuhkan kesetiaan penyokong Umno terhadap BN, terutama apabila timbul sentimen simpati terhadap Datuk Najib dalam kalangan mereka,” ujarnya kepada BH.
Sementara itu, penganalisis politik UiTM, Cik Shahidah Abdul Razak, berkata isu tahanan rumah Encik Najib berkemungkinan hanya mempengaruhi persepsi sebahagian kecil pengundi.
“Mungkin hanya kepada pengundi atas pagar dan golongan muda,” katanya.
Selain PH yang bertanding di 24 kerusi DUN dan BN yang mempertaruhkan calon di 23 kerusi, PRN Melaka turut ditandingi Perikatan Nasional (PN) yang meneruskan kesinambungan kerjasama dengan BN selepas PRN Negeri Sembilan.
Menerusi persefahaman pembahagian kerusi, PN yang diterajui Parti Islam SeMalalaysia (PAS) hanya bertanding di lima kerusi DUN.
Selain itu turut memberi saingan ialah Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli – mantan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meninggalkan parti pimpinan Datuk Anwar itu bersama kumpulan penyokongnya – pada Mei lalu.
Bersama bertanding di 16 kerusi, sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mempertaruhkan tujuh calon.
Seorang lagi ialah calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan tiga calon Bebas.
BN MILIKI KELEBIHAN
Dari segi peluang kemenangan, ketiga-tiga penganalisis melihat BN mempunyai kedudukan lebih kukuh untuk mempertahankan penguasaan di Melaka, didorong kekuatan politik sedia ada dan kerjasama dengan PN yang berpotensi mengelakkan perpecahan undi Melayu.
Encik Muhammad Ariff berkata kerjasama BN-PN memberi kelebihan besar kepada gabungan itu berikutan pemindahan undi antara kedua-dua parti dijangka berlaku, sekali gus meletakkan BN pada kedudukan lebih baik berbanding PRN sebelum ini.
Beliau menjangkakan BN-PN berpotensi menguasai lebih 23 daripada 28 kerusi DUN yang bakal ditandingi – melebihi pencapaian BN pada PRN 2021 yang memenangi 21 kerusi.
“Selain faktor kerjasama BN-PN, prestasi calon BN seperti Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, serta pengaruh beberapa calon popular lain sebagai antara faktor yang boleh mengukuhkan sokongan pengundi,” kata Pensyarah Kanan, Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar itu.
Antara calon popular yang dinamakan beliau ialah pelakon yang kini aktif politik, Dira Abu Zahar; Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh; dan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, yang mengumpul jutaan pengikut di media sosial.
Cik Shahidah pula berkata kedudukan BN sebagai parti yang sudah lama mempunyai pengaruh di Melaka, selain rekod pentadbiran negeri yang dilihat mampu menawarkan kestabilan dan perkhidmatan baik, menjadi kelebihan kepada gabungan itu.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Pentadbiran dan Pengajian Dasar itu berkata keadaan sosio ekonomi Melaka yang sederhana dan stabil, termasuk kos sara hidup yang masih berpatutan, turut menyumbang kepada keyakinan pengundi terhadap Kerajaan Negeri sedia ada.
“Bagaimanapun, PH masih berpeluang mencatat kemenangan di kawasan bandar, bergantung kepada kekuatan calon penyandang dan keupayaan parti itu mengekalkan sokongan pengundi di kawasan campuran,” tambahnya.
Dr Hussain Yusri, yang juga Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, berkata cabaran utama PH adalah mendapatkan semula sokongan pengundi Melayu yang mungkin beralih kepada BN, menyusuli kerjasama dengan PN, selain mengekalkan sokongan sedia ada dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
“Selain itu PH perlu kekalkan penyokong sedia ada di kawasan campuran dan menambah sokongan pengundi pelbagai kaum untuk mencabar kerjasama BN-PN ini,” katanya.
Pengundi Melayu mewakili lebih 70 peratus daripada keseluruhan pengundi pada PRN Melaka kali ini.
Dua pengundi PRN Melaka yang dihubungi BH mengakui isu tahanan rumah Encik Najib mencetuskan pelbagai reaksi di persekitaran mereka, namun tidak melihat ia akan mempengaruhi keputusan pengundi.
Cik Nur Syazwani Abd Hadi, 35 tahun, yang mengundi di DUN Ayer Keroh, berkata beliau mengutamakan prestasi kerja, mutu kepimpinan dan sumbangan khidmat calon yang bertanding dalam PRN Melaka ini.
“Kalangan keluarga dan rakan-rakan saya ada macam-macam reaksi.
“Yang penting bagi saya ialah menilai manfaat yang telah dibawakan seseorang pemimpin itu untuk masyarakat yang mengundinya,” katanya yang akan pulang dari Cheras, Kuala Lumpur, ke Melaka untuk mengundi.
Cik Nurul Adira Abdullah, 39 tahun, yang tinggal di Kerubong, Melaka, juga tidak melihat keputusan tahanan rumah Encik Najib akan mempengaruhi persepsi pengundi.
“Bagi saya, apa yang kita pangkah (undi) tidak ada kaitan dengan kes Datuk Najib. Berdebar nak mengundi tetapi teruja. Jika tanya pada saya, mahu kekal Biru,” katanya merujuk kepada warna parti BN dan PN.
BUKIT KATIL UJI KEKUATAN PH
Antara kerusi sengit pada PRN Melaka ialah Bukit Katil, yang menyaksikan calon PH, Timbalan Menteri Pertahanan, Encik Adly Zahari, menghadapi pertandingan empat penjuru dalam usaha mempertahankan kerusi yang disandangnya selama dua penggal.
Encik Muhammad Ariff berkata kerjasama BN-PN serta penyertaan parti lain berpotensi memecahkan undi PH, sekali gus meningkatkan cabaran Encik Adly untuk mempertahankan kawasan itu.
“Bagaimanapun, kedudukan Encik Adly sebagai mantan Ketua Menteri Melaka, selain pengalamannya sebagai wakil rakyat dan hubungan dengan pengundi tempatan masih boleh menjadi kelebihan,” katanya.
Dr Hussain pula berkata kemenangan Encik Adly sekiranya berjaya mempertahankan Bukit Katil akan membuktikan kekuatan peribadi dan ketokohannya, bukan semata-mata bergantung kepada pengaruh PH.
ISYARAT JELANG PRU
Dari sudut politik nasional, keputusan PRN Melaka dijangka menjadi petunjuk kepada kekuatan parti dan kemungkinan penjajaran kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebelum Februari 2028.
Namun ia tidak secara langsung mengubah kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Dr Hussain berkata kemenangan BN-PN berpotensi mencetuskan perbincangan mengenai kedudukan kerjasama politik di peringkat Persekutuan, terutama jika ketegangan antara parti-parti dalam kerajaan terus meningkat.
Ini menyusuli beberapa desakan kuat BN/Umno sebelum ini supaya Datuk Anwar segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU16 diadakan lebih awal, berikutan ketidakstabilan politik di negara itu.
Cik Shahidah pula melihat keputusan PRN Melaka boleh menjadi penentu kepada bentuk percaturan politik menjelang PRU16, namun kestabilan politik perlu terus diutamakan berbanding perebutan kuasa.
Satu lagi faktor yang dijangka mempengaruhi corak pengundian PRN Melaka kali ini ialah peratusan yang keluar mengundi nanti.
Encik Muhammad Ariff menjangkakan peratusan keluar mengundi mungkin berada di bawah 70 peratus, antara lain disebabkan kelesuan politik dan cuti panjang sempena Deepavali baru-baru ini yang mungkin boleh menjejas kehadiran pengundi dari luar Melaka.
“Peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi berpotensi menjadikan persaingan lebih sengit, namun BN masih dilihat mempunyai kelebihan berdasarkan kedudukan politik semasa,” tambahnya.