Beberapa kerusi panas dan menyaksikan persaingan sengit sehingga empat penjuru, menjadi antara tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang dijadualkan berlangsung pada 14 November ini.

Ia terutamanya membabitkan kerusi yang ditandingi pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), dua blok politik utama yang bertanding dalam pilihan raya itu dan bakal menentukan hala tuju pentadbiran negeri yang terkenal dengan jolokan bandaraya bersejarah itu.

Pada PRN Melaka kali ini, PH pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meletakkan jumlah calon tertinggi iaitu di 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara BN yang dipimpin Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertanding di 23 kerusi DUN.

Persaingan bagi kerusi DUN Tanjung Bidara dan Bukit Katil dijangka menjadi antara tumpuan utama PRN Melaka kali ini, kerana kededua kerusi itu ditandingi pemimpin yang diangkat sebagai poster boy dan berpotensi menerajui Kerajaan Negeri sebagai Ketua Menteri, sekiranya parti masing-masing berjaya memenangi pilihan raya itu.

Datuk Zahid sebelum ini dilaporkan berkata BN akan mengekalkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya gabungan itu memenangi PRN Melaka, manakala Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, menamakan Encik Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri sekiranya gabungan itu memperoleh majoriti untuk membentuk Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN Melaka, Datuk Rauf, 65 tahun, akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara untuk penggal kedua.

Beliau akan ditentang calon muka baru dari PH, Encik Mohd Yunazri Mustamiri, 36 tahun, dalam saingan merebut sokongan 15,003 pengundi di kawasan itu pada hari pengundian, 14 November ini.

Sementara Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia yang juga Pengerusi PH Melaka, Encik Adly Zahari, 55 tahun, pula bertanding mempertahankan kerusi DUN Bukit Katil yang dipegangnya sejak 2018 iaitu selama dua penggal, dan akan berdepan pertandingan empat penjuru.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mazlan Che Soh, berkata kededua calon, Datuk Rauf dan Encik Adly, mempunyai kelebihan untuk mempertahankan kerusi ditandingi, namun cabaran untuk Encik Adly dilihat lebih besar.

Untuk kerusi DUN Tanjung Bidara, meskipun BN sekian lama menguasai kerusi itu, Datuk Rauf hanya berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti tipis sebanyak 364 undi pada PRN 2021, menewaskan calon Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, dalam pertandingan tiga penjuru.

Namun, Dr Mazlan berkata jumlah undi yang diterima oleh calon-calon pada PRN Melaka 2021 tidak boleh lagi dijadikan ukuran, berikutan landskap politik ketika ini sudah berubah.

Beliau berkata pertembungan satu lawan satu bagi kerusi DUN Tanjung Bidara, kedudukan Datuk Rauf sebagai penyandang kerusi DUN Tanjung Bidara, selain peranannya sebagai Pengerusi BN Melaka dan Ketua Menteri yang disenangi rakyat, memberikan kelebihan tersendiri kepada beliau dalam menghadapi persaingan pada PRN kali ini.

Dr Mazlan berkata kerjasama BN dengan gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) buat kali kedua dalam pilihan raya pada 2026 ini, semakin memudahkan peluang untuk Datuk Rauf mempertahankan kerusinya.

“Saya berkeyakinan Datuk Rauf akan memperoleh peningkatan undi majoriti berbanding pada PRN 2021 ketika BN tidak menjalin kerjasama dengan mana-mana parti.

“Undi penyokong PN yang sebelum ini tidak diperoleh BN pada PRN 2021, akan beralih kepada Datuk Rauf hasil kerjasama BN-Umno dengan PN sekarang. Dan formula ini juga terpakai di semua kerusi ditandingi BN dan PN.

“Jadi apabila kerjasama politik BN-PN ini telah diterjemahkan secara rasmi ia akan beri kelebihan kepada calon kededua parti, sekali gus dijangka memberi kemenangan buat BN secara keseluruhan,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Mengenai peluang Encik Adly pula, Dr Mazlan berkata walaupun mempunyai kelebihan sebagai Ahli Parlimen Alor Gajah dan Timbalan Menteri Pertahanan, hakikat beliau berdepan pertandingan empat penjuru tidak harus dikesampingkan sebagai faktor yang boleh mempengaruhi undi.

Malah kata Dr Mazlan, sokongan terhadap Encik Adly yang pernah berpengalaman menerajui kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri Melaka sebelum ini, berpotensi terjejas akibat perpecahan undi, berikutan persaingan daripada calon lain.

Encik Adly akan dicabar calon (PN), Encik Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, 42 tahun; calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Dr Aliza Che Amran serta calon Bebas, Encik Abu Bakar Sabudin.

“Kerjasama BN-PN akan memberi kelebihan buat calon PN bagi kerusi DUN Bukit Katil ini, sekali gus memberi kesan kepada undi diterima Encik Adly.

“Apabila sudah terlalu banyak calon, pecah undi itu boleh berlaku dan sedikit sebanyak undi boleh pergi kepada calon Bersama juga, mengambil kira pengaruh mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menerajui Bersama. Justeru, margin undi Encik Adly mungkin merosot sedikit.

“Jadi sebagai calon PH beliau perlu bekerja lebih keras untuk memenangi hati pengundi dan mengekalkan penguasaannya di kerusi DUN Bukit Katil,” katanya.

Keputusan PRN Melaka 2021 menyaksikan Encik Adly memenangi kerusi Bukit Katil dengan 6,805 undi dan majoriti 1,057 undi, dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PN dan Bebas.

Ketika itu calon BN, Datuk Hasnoor Husin memperoleh 5,748 undi, manakala calon PN, Encik Muhammad Al Alfiz Yahya memperoleh 3,715 undi.

Secara keseluruhan, Dr Mazlan turut melihat peluang PH untuk memenangi PRN Melaka ke-16 dan membentuk kerajaan negeri agak sukar.

Ketua Pemuda Umno Malaysia merangkap calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Datuk Dr Akmal Saleh (dua dari kiri) amat disenangi penduduk Merlimau.
Ketua Pemuda Umno Malaysia merangkap calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Datuk Dr Akmal Saleh (dua dari kiri) amat disenangi penduduk Merlimau. - Foto MALAYSIA GAZETTE

Dua lagi kerusi yang menarik tumpuan ialah DUN Merlimau di mana Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh yang juga penyandang kerusi akan bertanding mewakili BN dan dicabar calon PH, Cik Rahayu Hamzah.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri yang menjadi calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Datuk Azman Abidin (dua dari kiri), berikrar membawa pengalamannya di Putrajaya dan khidmat sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan ke Melaka.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri yang menjadi calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Datuk Azman Abidin (dua dari kiri), berikrar membawa pengalamannya di Putrajaya dan khidmat sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan ke Melaka. - Foto ASTRO AWANI

Selain itu, kerusi DUN Paya Rumput menyaksikan PH mempertaruhkan Datuk Azman Abidin iaitu Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pertandingan menentang calon PN, Encik Rafie Ahmad dan calon Bersama, Encik Abdul Rashid Abu.

Penganalisis politik yang juga Zamil Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Azmi Hassan, berkata untuk kerusi DUN Merlimau, hampir pasti Dr Akmal mampu mengekalkan kemenangan di kerusi itu buat penggal kedua pada PRN Melaka kali ini.

“Saya pasti Dr Akmal boleh kekalkan kemenangan di DUN Merlimau kerana beliau bukan saja popular di Melaka dan Merlimau, tetapi juga di peringkat nasional sebagai Ketua Pemuda Umno, walaupun kadang kala ada persepsi negatif terhadapnya dalam beberapa isu,” ujarnya kepada BH.

Pada PRN 2021, Dr Akmal memenangi kerusi DUN Merlimau dengan majoriti selesa 3,248 undi dalam pertandingan tiga penjuru dicabar calon PH, Encik Azrin Ab Majid dan calon PN, Encik Abd Alim Shapie.

“Saya yakin majoriti lebih 3,000 undi akan diterima Dr Akmal kali ini. Keyakinan itu diletakkan pada asas populariti Dr Akmal yang disayangi warga Merlimau dan Melaka, selain undi daripada penyokong PN,” tambahnya.

Dr Akmal antara pemimpin Umno-BN yang kuat menyokong kerjasama antara BN-PN, malah pernah beberapa kali menyuarakan hasrat supaya Muafakat Nasional (MN) yang pernah dibentuk bersama Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang kini menerajui PN, dihidupkan semula.

Mengulas mengenai kemampuan Datuk Azman untuk membawa kemenangan kepada PH di kerusi DUN Paya Rumput, Profesor Azmi berkata selain ia adalah kerusi tradisi BN, kehadiran calon Bersama akan memberi cabaran kepada undi yang bakal diterima Datuk Azman.

“Kerusi DUN Paya Rumput ini menarik kerana menyaksikan Datuk Azman, individu yang berprofil tinggi sebagai Setiausaha Politik Datuk Anwar bertanding buat kali pertama dalam pilihan raya.

“Tetapi hakikatnya, beliau akan bertemu calon PN-PAS, Encik Rafie Ahmad yang seharusnya akan memperoleh sokongan pengundi Umno-BN, kerana Paya Rumput satu ketika dulu adalah kubu kuat Umno.

“Namun, sesuatu yang paling penting ialah kehadiran calon Bersama. Kalau kita tengok apa yang berlaku pada PRN Johor, Bersama berjaya mencuri undi daripada PH.

“Oleh itu saya ramalkan sukar untuk Datuk Azman menang di Paya Rumput atas dua sebab, kehadiran calon PN yang akan mendapat sokongan BN-PN, dan kehadiran Bersama yang akan mengurangkan undi calon PH terutama dari PKR,” katanya. 

Datuk Azman juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas Menteri Besar Selangor, dari 2012 hingga 2014 dan kini merupakan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan serta Ketua Cabang PKR bagi Bandar Tun Razak.

Seramai 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRN Melaka Ke-16 pada 14 November ini, dengan pengundian awal untuk pasukan keselamatan iaitu tentera dan pasangan serta anggota polis pada 10 November.

Pada PRN Melaka kali ini, BN, yang bekerjasama dengan PH dalam membentuk Kerajaan Persekutuan sejak 2022, sekali lagi menjadi seteru apabila BN meneruskan kerjasama dengan PN, selepas yang pertama pada PRN Negeri Sembilan, Ogos lalu.

PRN Melaka 2026 akan menjadi medan ujian sama ada BN mampu mengekalkan penguasaan selepas memenangi 21 kerusi pada PRN Melaka 2021. Ketika itu PH hanya memenangi lima kerusi, sementara PN dua kerusi.