Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Melaka: PN ulangi gesaan supaya ahli undi BN seperti di N. Sembilan
PRN Melaka: PN ulangi gesaan supaya ahli undi BN seperti di N. Sembilan
MELAKA: Semua pemimpin dan ahli Perikatan Nasional (PN) diarahkan mengundi calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 November ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ia bagi memastikan kemenangan besar berpihak kepada dua gabungan itu yang melanjutkan persefahaman politik pada PRN Melaka.
“Perkara itu bukan perkara baru bagi PN, dalam PRN Johor kita telah beri arahan ahli-ahli kita mengundi PN di tempat kami bertanding, dan tempat kita tidak bertanding kita sokong BN menentang PH.
“Di Negeri Sembilan jelas kami bersama Umno dalam gabungan, sudah tentu semua tempat kami tidak bertanding diwajibkan menyokong BN.
“Jadi bukan (perkara) baharu di Melaka, jadi saya mengulangi apa yang diarahkan sebelum ini,” jelasnya ketika turun berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, lapor Berita Harian Malaysia.
Kata Datuk Takiyuddin, hanya berbaki beberapa hari sebelum kempen berakhir, PN yakin mampu menyumbang kerusi DUN di negeri itu.
“Insya-Allah kita menjangkakan pasti 21 kerusi ditandingi BN boleh dipertahankan dan kami optimis dapat menyumbang tiga hingga empat kerusi.
“Kita nampak tiada halangan besar untuk kita capai kemenangan,” katanya.
PN kini diterajui Parti Islam SeMalaysia (PAS) selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang memegang jawatan Pengerusi PN selama lima tahun sejak 2020, meletak jawatan pada akhir Disember 2025.
Sejak itu hubungan dua parti komponen utama PN itu kian tegang, dengan kemuncaknya PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu pada Jun lalu.
Sejak PRN Negeri Sembilan ke-16 pada Ogos lalu, PN/PAS menjalin persefahaman politik dengan BN menerusi pembahagian kerusi, yang sekali gus membuahkan kemenangan untuk gabungan itu, menumbangkan Pakatan Harapan.
Dalam pada itu, kepimpinan PAS Melaka menepis dakwaan bahawa kerjasama antara parti itu dengan Umno tidak akan bertahan lebih tiga tahun.
Pesuruhjaya PAS Melaka, Encik Zulkifli Ismail, sebaliknya menegaskan kenyataan itu dilontarkan pihak yang tidak suka kepada penyatuan diusahakan kedua-dua parti utama menerusi Muafakat Melaka antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, PN dan BN komited memastikan kerjasama berkenaan dapat dipertahankan bukan sekadar untuk menghadapi pilihan raya.
“Itu (hubungan PAS-Umno tidak bertahan) pandangan daripada orang yang tak suka pada penyatuan ini.
“Adapun kita yang berusaha untuk mewujudkan penyatuan ini bukan (untuk) tiga tahun, kita akan pastikan selama-lamanya insya-Allah,” katanya pada satu program sempena PRN Melaka.