Topik diikuti
Pergi ke BHkuJelang PRN N.Sembilan: Pengangkutan awam lebih cekap Seremban-KL, peluang kerja tuntutan pengundi
Jelang PRN N.Sembilan: Pengangkutan awam lebih cekap Seremban-KL, peluang kerja tuntutan pengundi
Ramai penduduk tinggal di N. Sembilan tetapi bekerja KL, ulang-alik setiap hari dengan bas atau tren komuter
Jelang PRN N.Sembilan: Pengangkutan awam lebih cekap Seremban-KL, peluang kerja tuntutan pengundi
Bekerja di Lembah Klang tetapi menetap di Negeri Sembilan, khususnya sekitar Seremban yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Kuala Lumpur, sudah menjadi perkara lazim bagi ramai penduduk negeri itu.
Kebanyakan mereka memilih untuk tinggal dan melabur dalam hartanah di Negeri Sembilan, dengan memulakan perjalanan seawal 5 pagi setiap hari untuk menaiki bas atau tren komuter dari Seremban ke Kuala Lumpur.
Ada juga yang memandu sendiri ke tempat kerja, keluar dari rumah sebelum waktu subuh bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.
Fenomena ini juga menggambarkan hubungan rapat Negeri Sembilan dengan Kuala Lumpur, menyerupai hubungan Johor dengan Singapura, di mana penduduk menetap di satu negeri, tetapi mencari rezeki di bandar atau negara jiran.
Bagi golongan ini, perjalanan lebih sejam setiap pagi ke Lembah Klang terutama Kuala Lumpur, sudah menjadi rutin harian yang sanggup ditempuh demi menikmati peluang pekerjaan dan gaji lumayan, tanpa perlu mengorbankan kehidupan yang lebih selesa di negeri sendiri.
Justeru, ramai dalam kalangan mereka berpendapat usaha meningkatkan mutu dan kecekapan sistem pengangkutan awam, penyediaan peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi, perlu menjadi antara keutamaan kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang akan diadakan pada 1 Ogos ini.
Bagi Encik Ahmad Syamil, 28 tahun, yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) di kawasan Pasar Seni, Kuala Lumpur, beliau memilih untuk terus menetap di Panchor Jaya, Ampangan, Seremban, sambil berulang-alik ke ibu kota untuk bekerja sejak 2021.
Kongsinya kepada Berita Harian (BH), faktor utama beliau memilih tinggal di Seremban ialah kos sara hidup yang lebih rendah, harga rumah yang lebih mampu milik serta kedudukannya yang lebih dekat dengan keluarga.
Pada usia 26 tahun, beliau berjaya membeli sebuah rumah sebandung bernilai RM330,000 ($104,655), sesuatu yang disifatkannya sukar diperoleh di Kuala Lumpur kerana kediaman yang sama berharga lebih RM500,000.
“Dengan keadaan kerja yang lebih fleksibel dan mempunyai seorang anak, saya melihat kehidupan di Negeri Sembilan memberikan keselesaan yang lebih baik untuk keluarga,” katanya yang keluar rumah pada 6 pagi untuk menaiki tren komuter ke Kuala Lumpur pada 6.30 pagi.
Menurutnya, keputusan berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk bekerja dibuat kerana tawaran gaji di negeri kelahirannya itu tidak setanding dengan yang diperoleh daripada syarikat di Kuala Lumpur.
“Peluang pekerjaan di Negeri Sembilan memang ada, tetapi dari segi gaji tidak setanding dengan Kuala Lumpur.
“Kalau dengan pengalaman kerja enam tahun, di Kuala Lumpur boleh dapat sekitar RM7,000 sebulan, tetapi di Negeri Sembilan biasanya sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sahaja.
“Jadi saya pilih untuk bekerja di KL dan tinggal di Seremban,” katanya.
Justeru beliau berharap lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi seperti yang ditawarkan parti politik dalam manifesto PRN dapat dikotakan, dengan membawa masuk pelaburan ke negeri itu, terutama di kawasan perindustrian.
Bagi Cik Noor Rizwana Mohd Zain, 30 tahun, keputusan menetap di Seremban membolehkan beliau menikmati apa yang dianggap sebagai ‘yang terbaik daripada dua dunia’ iaitu memperoleh pendapatan di Kuala Lumpur, tetapi membelanjakan sebahagian besar pendapatan itu di Negeri Sembilan.
Baginya keputusan untuk terus menetap di Seremban walaupun bekerja di Kuala Lumpur bukan semata-mata kerana faktor kos, tetapi turut didorong tanggungjawab terhadap ibu bapanya yang semakin berusia.
Sebagai anak bongsu daripada dua beradik dan belum berkahwin, beliau memilih untuk tinggal bersama ibu bapanya, dengan rutin hariannya bermula seawal 6 pagi, dan dihantar bapanya ke stesen komuter untuk menaiki tren ke Kuala Lumpur.
“Walaupun terpaksa bangun awal dan berebut mendapatkan tempat di dalam tren, dalam perjalanan kira-kira satu setengah jam itu masih lebih selesa berbanding memandu sendiri ke ibu kota setiap hari.
“Saya pernah cuba memandu ke Kuala Lumpur, namun perjalanan itu lebih memenatkan, terutama apabila berdepan kesesakan lalu lintas,” kata ejen insurans itu kepada BH.
Ketika ini, sistem pengangkutan rel terutama komuter di Seremban, sedang menjalani proses naik taraf untuk projek hab pengangkutan Seremban Sentral dan projek Landasan Kereta Api Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).
Projek yang dijangka siap pada 2027 itu bertujuan untuk memudahkan orang awam, terutama yang berulang-alik bekerja di Kuala Lumpur, selain menjadikan Seremban sebagai transit pengangkutan rel yang menghubungkan Johor Bahru hingga Perlis menerusi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).
Lain pula kisahnya dengan juruaudit, Cik Farah Adina Ramli, 45 tahun, yang sudah lebih 10 tahun menaiki bas ulang-alik dari Seremban ke Kuala Lumpur untuk bekerja di syarikat di Bangsar.
Katanya, walaupun penat kerana terpaksa keluar rumah di Kuala Pilah seawal 5 pagi untuk ke terminal bas, beliau melihat pilihan itu lebih baik.
“Saya sudah ada rumah sendiri di Kuala Pilah, jadi sebaik menaiki bas pada 5.45 pagi saya akan rehat atau tidur.
“Begitu juga ketika pulang. Walaupun ada orang lihat kos saya tinggi, tapi bagi saya ia berbaloi kerana suasana kehidupan lebih tenang,” katanya.
Ketika warga Negeri Sembilan membuat pilihan pada PRN kali ini, mereka bukan sahaja menilai janji mengenai pembangunan atau pelaburan baharu, malah mengharapkan sistem pengangkutan awam yang lebih lancar.