Di sebalik kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang memasuki fasa akhir, bukan hanya parti politik dan calon bertanding yang sibuk turun padang.

Kehadiran ribuan petugas kempen, penyokong serta pemimpin parti dari seluruh Malaysia turut membawa limpahan rezeki kepada segelintir peniaga kecil tempatan.

Ia khususnya melibatkan pengusaha makanan tradisi yang sinonim dengan Negeri Sembilan yang menyaksikan permintaan meningkat dengan ketara.

Cik Noraziah Muhamad, menyediakan daging salai permintaan pelanggan di gerainya di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Cik Noraziah Muhamad, menyediakan daging salai permintaan pelanggan di gerainya di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Antara yang merasai tempiasnya ialah peniaga itik, ikan keli dan daging salai, Cik Noraziah Muhamad, 41 tahun, yang berniaga di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Terachi, Kuala Pilah.

Menurut beliau, jualannya meningkat sehingga 50 peratus sepanjang musim mengundi kali ini, dengan permintaan paling tinggi diterima bagi daging salai, diikuti itik salai dan ikan keli salai.

Pada hari biasa, ujar beliau, jualannya tidak menentu dan ada kalanya tiada pembeli, manakala pada tempoh bukan musim cuti sekolah, biasanya mereka hanya mampu menjual sekitar lima hingga enam ekor itik salai sehari atau kurang.

“Namun, keadaan berbeza sepanjang musim PRN ini terutama pada hujung minggu lalu, apabila jumlah jualan itik sahaja meningkat kepada lebih 30 ekor sehari, tidak termasuk bahan salai yang lain. Memang seronok betul rasanya.

“Kebanyakan yang datang dari pelbagai negeri, turun berkempen ke sini untuk PRN dan mahu membeli bahan masakan salai ini untuk dibawa pulang sebagai buah tangan,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Seekor itik salai di kedainya dijual pada harga RM48 ($15.20); sementara RM40 untuk seekor ayam salai. Daging salai berharga RM30 bagi setengah kilogram dan lima ekor keli salai pula berharga RM15.

Di sepanjang jalan berkenaan, ada beberapa lagi peniaga yang turut menjual bahan masakan salai sepertinya.

Selain jualan runcit di gerainya, Cik Noraziah turut membekalkan bahan masakan salai buat peniaga kedai makan berhampiran.

Beliau berkata, keistimewaan produk salai yang diusahakannya terletak pada kaedah penyediaan menggunakan bara daripada kayu yang dibakar, berbanding penggunaan arang oleh kebanyakan peniaga lain, sekali gus menghasilkan aroma lebih wangi dan rasa yang lebih tersendiri.

Bagi Pengurus Kedai Makan Ain di Perkampungan Budaya Terachi, Cik Ayu Najwa Ahmad Firdaus, suasana sepanjang kempen PRN kali ini ibarat musim cuti sekolah, apabila jumlah pelanggan yang datang meningkat sehingga 50 peratus berbanding hari biasa.

Kedai makan yang popular dalam kalangan pelancong itu, katanya, menawarkan lebih 40 jenis lauk dan menyaksikan waktu makan tengah hari menjadi tempoh paling sibuk.

Jumlah pelanggan di Kedai Makan Ain dekat Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, meningkat sepanjang musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ini.
Jumlah pelanggan di Kedai Makan Ain dekat Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, meningkat sepanjang musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ini. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Tempahan katering turut meningkat kira-kira 50 peratus dengan pesanan diterima dari seluruh Negeri Sembilan.

Menurutnya, sambutan yang memberangsangkan itu turut mendorong pihaknya menambah pengeluaran kuih tradisional seperti badak berendam atau dikenali sebagai kuih sopang dalam kalangan masyarakat Negeri Sembilan, selain kuih ‘boko ubi’ daripada kebiasaan 50 bekas kepada 80 bekas sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Lauk salai yang menjadi hidangan istimewa dan sinonim dengan Negeri Sembilan seperti daging salai selain siput sedut masak lemak cili api, terus menjadi menu paling mendapat sambutan.

“Peningkatan tempahan ini amat menggembirakan dan memberi suntikan kepada perniagaan kami,” katanya kepada BH sambil menambah, majikannya turut menggunakan khidmat enam pekerja sambilan sepanjang tempoh PRN ini.

Menu masak lemak cili api yang menjadi tarikan di Kedai Makan Ain dekat Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menu masak lemak cili api yang menjadi tarikan di Kedai Makan Ain dekat Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Bukan sahaja pengusaha makanan yang menerima tempias positif sepanjang musim PRN, malah penyedia perkhidmatan sewaan khemah dan kelengkapan majlis turut menikmati peningkatan tempahan menjelang hari pengundian.

Pengurus syarikat Seri Senawang Event, Encik Amirul Ashraf Mazlan.
Pengurus syarikat Seri Senawang Event, Encik Amirul Ashraf Mazlan. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Pengurus syarikat Seri Senawang Event, Encik Amirul Ashraf Mazlan, berkata tempahan bagi khemah, kerusi, meja serta kelengkapan untuk program kempen di kafe dan dewan meningkat kira-kira 30 peratus berbanding tempoh biasa.

Menurutnya syarikat itu menawarkan pelbagai jenis khemah termasuk 40 unit ‘marquee tent’ dan lebih 70 unit kanopi jenis ‘Arabian’.

Menurut beliau, syarikatnya turut menerima banyak tempahan pada saat-saat akhir, termasuk daripada calon bertanding dan agensi yang menganjurkan pelbagai program, dengan jumlah permintaan semakin meningkat ketika hari pengundian pada 1 Ogos semakin hampir.

“Perniagaan sewaan khemah sememangnya mempunyai musim tertentu yang menyaksikan permintaan melonjak seperti musim cuti sekolah apabila banyak kenduri diadakan.

“Namun PRN Negeri Sembilan kali ini turut menjadi antara musim yang membawa rezeki berganda kepada syarikat kami. Khemah habis ditempah,” katanya kepada BH.

Permintaan terhadap sewaan khemah jenis ‘marquee tent’ daripada Seri Senawang Event melonjak sepanjang tempoh kempen oleh parti-parti politik sepanjang musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ini.
Permintaan terhadap sewaan khemah jenis ‘marquee tent’ daripada Seri Senawang Event melonjak sepanjang tempoh kempen oleh parti-parti politik sepanjang musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ini. - Foto SERI SENAWANG EVENT

Seramai 889,490 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN Negeri Sembilan kali ini, dengan hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos, manakala pengundian awal membabitkan anggota keselamatan telah selesai berlangsung pada 28 Julai.

Sebanyak 103 calon daripada lapan parti politik termasuk calon Bebas akan bertanding merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam PRN Negeri Sembilan.