SEREMBAN: Polis telah membuka beberapa kertas siasatan baharu berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, termasuk dakwaan cubaan menyogok pengundi, serta ucapan kempen Ahli Parlimen (AP) Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, yang didakwa mengandungi unsur hasutan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata sepanjang tempoh 18 hingga 28 Julai lalu, polis telah menerima 62 laporan dan membuka 19 kertas siasatan berkaitan pelbagai kesalahan pilihan raya.

Beliau berkata daripada jumlah itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berhubung dakwaan sogokan kepada pengundi selepas menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 29 tahun, pada hari pengundian awal pada 28 Julai.

“Lelaki itu mendakwa menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp yang memaklumkan, seorang calon parti politik menerima maklumat mengenai seorang individu tidak dikenali yang didakwa akan memberi wang sebagai sogokan kepada ‘pengundi putih’, iaitu pengundi tetap parti berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada 29 Julai.

Laporan itu menarik perhatian calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang yang juga AP Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berikutan insiden berkenaan yang dilaporkan berlaku di kampungnya sendiri.

Ini selepas beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, menerima bukti gambar dan video daripada sumber terdekat, mengenai tindakan wakil sebuah parti politik menawarkan wang tunai antara RM100 ($31.65) dengan RM300 kepada penduduk.

Beliau mempersoalkan pendekatan digunakan itu yang seolah-olah merendahkan maruah masyarakat di Negeri Sembilan semata-mata untuk memancing undi, dan menggesa polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera.

Dalam perkembangan berasingan, Datuk Alzafny berkata polis turut membuka kertas siasatan terhadap Datuk Shamshulkahar berhubung ucapannya ketika berkempen di Seremban Jaya, Negeri Sembilan, yang didakwa mengandungi unsur hasutan.

Katanya, siasatan dijalankan menyusuli laporan yang dibuat oleh AP Jelutong, Encik RSN Rayer, bersama tiga lagi pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 28 Julai, yang tidak berpuas hati dengan hantaran video di media sosial yang memaparkan ucapan ahli politik Umno/BN berusia 64 tahun itu ketika berkempen.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, DAP membuat laporan polis terhadap Datuk Shamshulkahar, menyusuli dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah yang mengaitkan parti itu dengan karikatur menghina Sultan Selangor ketika berkempen pada PRN Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan di Facebook, Encik Rayer mendakwa, dalam ucapan itu, Datuk Shamshulkahar mengeluarkan kenyataan yang memberikan gambaran dan persepsi palsu kononnya DAP bertanggungjawab menghasilkan karikatur menghina Sultan Selangor seolah-olah seperti khinzir. – Agensi berita.