Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bukan sahaja menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN), berkongsi pentas ceramah pilihan raya buat kali pertama.

Malah pemimpin PN dan BN turut berbalas seruan untuk ahli parti dan pengundi memilih calon kededua gabungan itu, yang berbahagi kerusi ditandingi pada PRN Negeri Sembilan menerusi persefahaman yang dibentuk bersama buat julung kalinya.

Di pentas ceramah di Felda Bukit Rokan, Gemencheh, Tampin, pada malam 20 Julai, PN mengulangi seruan sebagaimana pada PRN Johor lalu supaya ahli dan penyokongnya memilih calon BN pada hari pengundian nanti.

Seruan yang disampaikan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, itu sekali gus memberi isyarat kerjasama strategik yang semakin erat antara kededua gabungan itu.

Datuk Takiyuddin, yang juga Setiausaha Agung, Parti Islam SeMalaysia (PAS), berkata penting untuk semua ahli parti komponen PN mematuhi arahan pucuk pimpinan bagi memastikan kerjasama BN-PN berjaya memenangi PRN, seterusnya membentuk kerajaan Negeri Sembilan.

“Ahli PAS dan semua ahli parti komponen PN perlu terikat dengan arahan kita,” katanya selepas Ceramah Mega memperkenalkan calon BN-PN di Felda Bukit Rokan, Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan, pada malam 20 Julai.

Turut hadir ialah Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Pengerusi BN Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.

Di pentas ceramah itu, Datuk Takiyuddin, turut menggesa semua ahli parti berkenaan di Parlimen Tampin mengundi calon BN dan PN di tiga kerusi ditandingi gabungan itu iaitu calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh dan Repah, serta calon PN di DUN Gemas.

“Saya sebagai Setiausaha Agung PAS, selain Setiausaha Agung PN, menyeru dan lebih daripada itu mengarahkan semua ahli PAS di Parlimen Tampin supaya keluar menyokong calon BN-PN. Kita mahu menumbangkan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Sementara itu, Datuk Mohd Isam berkata BN memberikan sokongan penuh kepada calon PN yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, terutama bagi kerusi dalam kawasan Parlimen Tampin, yang diwakilinya sebagai Ahli Parlimen.

Beliau berkata persefahaman antara BN-PN adalah agenda penting untuk menumbangkan PH di Negeri Sembilan.

“Inilah penyatuan yang harus kita lakukan dan inilah penyatuan Melayu/Islam yang mesti direalisasikan. Saya harap pucuk pimpinan dapat lakukan sesuatu agar kita (BN-PN) tidak berpecah belah,” katanya.  

Beliau berkata kerjasama antara BN dengan PN yang dimeterai ketika ini perlu diterjemahkan di peringkat akar umbi dengan mengetepikan perbezaan demi memastikan matlamat lebih besar iaitu usaha mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dapat direalisasikan.

Blok Umno/BN yang sebelum ini membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan sebagaimana di peringkat Persekutuan, telah menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar dari PH, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada April lalu, berikutan kegagalannya mengurus krisis Adat dan Raja yang berlarutan.

Sementara itu di pentas ceramah sama, Datuk Takiyuddin turut mendedahkan persefahaman antara PN dengan BN dalam PRN Negeri Sembilan hanya dibuat empat hari sebelum penamaan calon.

Menurutnya selain beliau, antara pemimpin parti yang memuktamadkan persefahaman itu ialah Datuk Hamzah serta Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dan pimpinan Umno Negeri Sembilan.

Beliau menyifatkan persefahaman yang dimuktamadkan sempena PRN Negeri Sembilan itu sebagai satu sejarah penting dalam politik negara, yang sepatutnya sudah dimeterai lebih awal lagi.

Pada PRN Johor 11 Julai lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyeru ahli dan penyokong parti itu memberikan undi kepada calon BN di kawasan yang tidak ditandingi parti itu.

Persefahaman itu kemudian dizahirkan secara lebih mendalam menerusi pembahagian kerusi yang akan ditandingi BN dan PN dalam PRN Negeri Sembilan, dengan BN hanya bertanding di 25 daripada keseluruhan 36 kerusi, manakala 11 kerusi lagi akan diwakili calon PN.