SEREMBAN: Seorang lelaki menjadi individu pertama ditahan polis selepas tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bermula sejak 18 Julai, kerana dipercayai melakukan kesalahan berkaitan pilihan raya, dengan merosakkan bendera Pakatan Harapan (PH) di sekitar Kuala Klawang, Jelebu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata lelaki berkenaan ditahan pada 19 Julai, menyusuli laporan mengenai bendera parti berkenaan yang dirosakkan di tepi jalan bermula dari Jambatan Mengkan, Kuala Klawang hingga ke Pejabat Kesihatan Jelebu.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.

“Dalam kejadian berasingan di Jempol, polis menerima gambar dan rakaman video memaparkan bahan kempen PH dibakar serta dikoyakkan di Simpang Tiga Jalan Palong 9, 10 dan 11, Gemas.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api sehingga menyebabkan kerugian harta benda,” katanya, lapor Kosmo!.

Menurut beliau sebanyak empat laporan polis diterima sejak 19 Julai dengan dua kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan pilihan raya.

“Secara keseluruhan, tujuh laporan polis telah diterima dan empat kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh 18 hingga 20 Julai,” katanya.

Dalam pada itu, polis turut menerima laporan mengenai bendera PH yang ditemukan di atas tanah berhampiran lampu isyarat Ayer Hitam, Jempol, namun kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

“Satu lagi laporan dibuat di Bahau selepas penganjur dinasihatkan supaya menghentikan aktiviti kempen yang tidak mempunyai permit. Aktiviti tersebut dihentikan dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya.

Dalam pada itu Datuk Alzafny, berkata sebanyak 141 daripada 143 permohonan penganjuran ceramah dan kegiatan kempen politik bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 diluluskan bagi tempoh 18 hingga 20 Julai.

Beliau berkata kesemua program dan kegiatan politik yang diluluskan dipantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejas keselamatan dan ketenteraman awam.

Datuk Alzafny menambah, setakat ini, keadaan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses PRN Negeri Sembilan, adalah pada tahap yang baik dan terkawal.