Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Negeri Sembilan: Persaingan pembangkang turut curi tumpuan, selain pertembungan PH-BN
PRN Negeri Sembilan: Persaingan pembangkang turut curi tumpuan, selain pertembungan PH-BN
Pengamat: Pertembungan Bersatu dengan PN mampu pecah undi yang sepatutnya diperoleh BN-PN
PRN Negeri Sembilan: Persaingan pembangkang turut curi tumpuan, selain pertembungan PH-BN
Di sebalik persaingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, tumpuan turut terarah kepada pertembungan sesama parti dalam gabungan pembangkang – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan blok Perikatan Nasional (PN).
Menurut penganalisis, pertembungan itu bukan saja berpotensi memecah undi yang sepatutnya diperoleh BN-PN, malahan juga berupaya mengubah landskap politik pembangkang, malahan juga bakal menentukan strategi PN dan Bersatu untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Calon Bersatu pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang pernah mengetuai PN, akan bertembung dengan calon gabungan itu di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ia masing-masing membabitkan empat kerusi di Serting, Ampangan, Paroi dan Bagan Pinang yang akan diwakili calon PAS.
Manakala empat lagi kerusi ditandingi calon Parti Wawasan Negara (Wawasan) pimpinan mantan Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pertembungan itu menyusuli keputusan Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri buat kali pertama sejak parti itu ditubuhkan pada 2016, selepas gagal mencapai persefahaman dengan PN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Aziz, menyifatkan keputusan Bersatu bertanding secara solo pada PRN Negeri Sembilan sebagai pertaruhan ‘do or die’ yang bakal menentukan hala tuju parti itu menjelang pilihan raya akan datang.
Beliau berkata prestasi Bersatu pada PRN itu akan menjadi kayu ukur sama ada parti berkenaan masih mempunyai kekuatan untuk bergerak secara bebas atau perlu menilai semula kedudukannya dalam blok pembangkang.
Beliau berkata sekiranya Bersatu berjaya menewaskan calon PN di kerusi yang ditandingi, kemenangan itu akan membuktikan parti berkenaan masih berupaya memenangi pilihan raya walaupun bertanding menggunakan lambang sendiri.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan tindakan Bersatu bertanding secara solo sebagai satu pertaruhan besar memandangkan pengaruh parti itu, termasuk presidennya, Tan Sri Muhyiddin, dilihat semakin merosot.
“Apa yang saya lihat, Bersatu mengambil pendekatan ‘do or die’. Pengaruh Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin semakin pudar. Sebab itu mereka mengambil risiko ini untuk membuktikan bahawa mereka masih mempunyai sokongan.
“Kemenangan akan memerlukan penilaian semula terhadap kedudukan Bersatu dalam PN, termasuk sama ada gabungan itu masih mahu terus mengetepikan Bersatu.
“Jika Bersatu boleh menang, PN juga perlu memikirkan semula keputusan untuk menyingkirkan Bersatu kerana parti itu masih mempunyai nilai kepada gabungan berkenaan,” kata Profesor Kehormat Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) itu kepada Berita Harian (BH).
Beliau berkata selepas gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika masih bertanding di bawah tiket PN, Negeri Sembilan menjadi peluang terbaik untuk Bersatu menguji kekuatan sebenar parti itu secara bersendirian.
Menurutnya, sekiranya Bersatu sekali lagi gagal meraih kemenangan, malah kehilangan deposit di kebanyakan kerusi yang ditandingi, parti itu perlu menilai semula strategi politiknya menjelang pilihan raya akan datang, termasuk sama ada berdamai dengan PN.
Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Encik Muhammad Ariff Asyrul Adnan, pula berpandangan, persaingan sesama parti yang berada dalam gabungan sama itu bukan sahaja berisiko memecahkan undi pembangkang di kerusi terbabit.
Malah berpotensi mencetuskan perebutan pengaruh dalam PN sekiranya Bersatu berjaya mencatat kemenangan.
Beliau berkata kemenangan Bersatu di kerusi yang turut ditandingi calon PN akan membuktikan parti itu masih mempunyai kekuatan dan relevan dalam landskap politik negara meskipun bertanding secara solo menggunakan lambang sendiri.
“PN selama ini lebih sinonim dengan Tan Sri Muhyiddin, tetapi dalam konteks hari ini dominasi dalam gabungan itu telah beralih kepada pemimpin PAS.
“Jika Bersatu berjaya memenangi kerusi yang ditanding sesama PN dalam PRN Negeri Sembilan ini, ia boleh membuktikan parti itu masih relevan dalam konteks pilihan raya dan masih mempunyai kaitan dengan PN.
“Ia juga berisiko memberi kesan kepada imej PN sendiri,” katanya kepada BH.
Encik Muhammad Ariff berkata keputusan itu juga berpotensi memperhebatkan lagi perebutan dominasi dalam PN selepas PRN apabila kedua-dua parti dijangka berusaha mengukuhkan pengaruh masing-masing dalam gabungan pembangkang berkenaan.
Katanya walaupun Tan Sri Muhyiddin sebelum ini menyatakan hasrat menubuhkan gabungan politik baharu, Bersatu sehingga kini belum mengumumkan keluar secara rasmi daripada PN, sebaliknya, hanya memutuskan bertanding secara solo pada PRN Negeri Sembilan.
“Justeru, sebarang kemungkinan mengenai perebutan dominasi dalam PN boleh berlaku,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan, BN dan PN mencapai persefahaman pembahagian kerusi dengan BN bertanding hanya di 25 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN, manakala baki 11 kerusi diperuntukkan kepada PN.
Menyusuli persefahaman BN-PN itu, Bersatu memutuskan bertanding secara solo menggunakan lambang sendiri di 24 daripada 36 kerusi DUN.
Berbanding PRN Johor sebelum ini, Bersatu masih bertanding di bawah tiket PN dan diperuntukkan 16 kerusi, manakala PAS bertanding di 11 kerusi. Bagaimanapun, gabungan itu gagal memenangi sebarang kerusi.
Sementara itu, gabungan PH pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meletakkan calon di kesemua 36 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekali gus berdepan calon BN yang juga rakan sekutunya dalam Kerajaan Persekutuan.
Keadaan itu berbeza dengan PRN Negeri Sembilan pada 2023 apabila kedua-dua gabungan PH-BN bertanding sebagai sekutu menentang PN.
PRN Negeri Sembilan ke-16 diadakan lebih awal daripada tempoh penggal DUN tamat pada September 2028.
Ia menyusuli krisis institusi Adat dan Raja di negeri itu, yang kemudian membawa kepada kemelut politik selepas blok BN/Umno menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar daripada PH, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Seramai 889,490 pengundi berdaftar merangkumi 64.6 peratus Bumiputera, 20.9 peratus Cina dan 14 peratus India layak mengundi pada 1 Ogos ini. Pengundian awal pula ditetapkan pada 28 Julai.
Pada PRN 2023, PH memenangi 17 kerusi sementara BN 14 kerusi, dan PN lima kerusi.
