Dalam usaha mempertahankan penguasaan dan pemerintahan di Negeri Sembilan, Pakatan Harapan (PH) melancarkan manifestonya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, dengan menjanjikan peningkatan peluang pekerjaan, kemudahan perumahan dan pembangunan ekonomi untuk tempoh lima tahun akan datang.

Manifesto yang menggariskan 10 komitmen utama PH bertema, ‘Kekal Harapan’ dan ‘Negeri Sembilan Maju 2045’ pada malam 20 Julai itu, dilancarkan Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar sementara, Datuk Seri Aminuddin Harun, di Seremban.

Beliau berkata manifesto berkenaan bukan sekadar janji atau retorik politik, tetapi satu pelan tindakan realistik yang mampu dilaksanakan sepenuhnya.

Malah, katanya PH telah membuktikan keupayaannya menerusi rekod pentadbiran cemerlang sejak mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Negeri Sembilan selepas pilihan raya pada 2018.

Datuk Aminuddin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), juga berkata manifesto itu dirancang dengan matlamat untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai koridor pusat bagi pembangunan ekonomi Malaysia.

“Visi saya bukan sekadar untuk menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri yang lebih kaya. Ia bukan sekadar menarik lebih banyak pelaburan. Ia bukan sekadar membina lebih banyak bangunan.

“Bagi saya yang paling penting, manifesto ini mampu dilaksanakan, bukan hanya janji. Kita tak perlu berjanji tetapi pelaksanaan adalah keutamaan bagi kami.

“PH sudah buktikan lapan tahun kami melaksanakan manifesto, melainkan yang membabitkan undang-undang yang tidak diluluskan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya selepas melancarkan Manifesto PH Negeri Sembilan, di Seremban, pada malam 20 Julai.

Manifesto PH itu antara lain menggariskan ikrar untuk mengekalkan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan bebas rasuah supaya pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan demi kepentingan rakyat.

PH juga menggariskan komitmen membina masa depan anak Negeri Sembilan yang lebih baik, membuka lebih banyak peluang pelaburan, membangunkan industri berteknologi tinggi dan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bermutu, supaya rakyat tidak perlu berhijrah jauh untuk mencari rezeki.

Selain itu PH turut bertekad membina 20,000 unit rumah mampu milik dan membantu lebih ramai rakyat mendapatkan kediaman yang selesa, selamat dan mampu dimiliki.

PH juga akan merealisasikan lima projek berimpak tinggi bersama Kerajaan Persekutuan termasuk antaranya Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson; Landasan Bypass Senawang-Port Klang dan Seremban Sentral.

Menerusi projek Seremban Sentral, kekerapan perkhidmatan komuter Seremban-Kuala Lumpur akan dipertingkatkan untuk memudahkan anak Negeri Sembilan berulang-alik Seremban-Kuala Lumpur.

Pelabuhan Antarabangsa Baharu Port Dickson dijangka akan merancakkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan bermutu baharu dan menarik pelaburan antarabangsa ke Negeri Sembilan, sementara Landasan Bypass Senawang-Port Klang akan meningkatkan keterhubungan rel sebagai pemangkin baharu sektor perindustrian dan logistik negeri.

Selain itu, turut diberi perhatian ialah pembangunan belia, wanita dan keluarga; pembangunan pelancongan dan warisan Adat; kemajuan seimbang bandar dan luar bandar serta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda); pertanian moden dan keterjaminan makanan; perkhidmatan kesihatan bermutu serta perpaduan agama, keharmonian dan kemajuan untuk semua.