Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 yang akan diadakan pada 12 Disember dijangka suram, apabila ruang persaingan demokratik dilihat terhad berikutan keputusan parti-parti politik utama yang berpangkalan di Semenanjung untuk tidak menyertai pilihan raya itu kali ini, kata badan pemantau pilihan raya.

Menjelang hari penamaan calon pada 28 November, parti-parti utama termasuk dua parti Melayu nasional yang juga komponen Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) – mengesahkan tidak menyertai PRN Sarawak kali ini.

Selain itu, antara parti nasional lain yang turut mengumumkan untuk tidak menyertai PRN Sarawak ialah Barisan Nasional (BN) pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN); dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

DAP adalah satu-satunya parti komponen PH yang akan bertanding di 12 daripada keseluruhan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sarawak ke-13.

Datuk Anwar, yang juga Presiden PKR, sebelum ini dilaporkan berkata keputusan untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak ke-13 dibuat bukan kerana ‘tunduk’ kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), tetapi sebagai menghormati kerjasama GPS yang menyokong Kerajaan Persekutuan.

Pada PRN terakhir di Sarawak pada 2021, GPS adalah blok politik terbesar yang mendominasi 76 daripada 82 kerusi.

Terdahulu Pengerusi DAP Sarawak, Encik Chong Chieng Jen, mendakwa keputusan PKR itu sebagai tunduk kepada GPS, selepas Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Openg, mempersoalkan kewajaran parti nasional untuk bertanding pada PRN Sarawak.

Ia berikutan GPS adalah blok politik yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan yang diterajui PH dan BN, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan pemerhati politik, termasuk sebuah badan pemantau, Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (PPDM) yang bertapak di Kuching, Sarawak, bahawa tindakan itu boleh menimbulkan persoalan serius tentang ruang persaingan demokrasi dan pilihan yang tersedia kepada rakyat Sarawak.

Setakat pengumuman yang dibuat sehingga 27 November, GPS telah mengumumkan kesemua 82 calonnya; Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) akan bertanding di 26 kerusi; DAP 12 kerusi dan dua calon dari Parti Bumi Kenyalang.

“Angka sebenar hanya dapat dipastikan selepas proses penamaan calon selesai pada 28 November.

“(Namun) berdasarkan perkembangan ini, anggaran awal menunjukkan hanya sekitar 38 daripada 82 kerusi DUN mungkin menyaksikan pertandingan.

“Ini bermakna sehingga 44 kerusi berpotensi dimenangi GPS tanpa bertanding,” kata PPDM dalam satu kenyataan.

Dengan perkembangan itu, Berita Harian Malaysia melaporkan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, berkata pihaknya sedang mendapatkan pengesahan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ia berhubung sebarang implikasi perundangan sekiranya GPS memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas selesai proses penamaan calon PRN Sarawak ke-13, pada 28 November.

Keadaan itu selepas pengumuman parti yang bakal bertanding setakat ini memperlihatkan daripada 82 kerusi DUN, sebanyak 44 kerusi hanya mempunyai seorang calon, 36 kerusi DUN (dua calon) dan dua kerusi DUN membabitkan tiga calon.

Berkenaan dengan kemungkinan hanya seorang calon mengemukakan pencalonan bagi sesuatu kerusi, Datuk Ramlan berkata calon berkenaan akan diisytiharkan menang tanpa bertanding.