Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putrajaya tidak akan rayu keputusan hak 40% hasil Sabah

Rundingan bersama Kerajaan Sabah berkait isu akan dimula dalam masa terdekat
Nov 12, 2025 | 5:19 PM
Malaysia, Sabah, hasil persekutuan, AGC
Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Oktober lalu, memihak kepada Sabah untuk menuntut 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip dari Sabah. - Foto fail BERNAMA

Putrajaya memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak Sabah untuk memperoleh 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip dari negeri itu, dengan rundingan bersama Kerajaan Sabah mengenai isu tersebut akan dimulakan dalam masa terdekat.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan pada 11 November, berkata keputusan itu yang dibuat dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada hari sama, bagaimanapun akan merayu berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman mahkamah berhubung isu itu.

Keputusan kerajaan untuk tidak mengemukakan rayuan itu mendapat maklum balas positif dan pujian daripada pelbagai parti politik di Sabah termasuk Umno dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memahami harapan dan aspirasi rakyat Sabah.

Bagaimanapun, kenyataan AGC itu turut mencetus reaksi Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, yang menyifatkan kenyataan AGC bercanggah selepas menyatakan tidak akan merayu, tetapi pada masa sama mahu ‘merayu kecacatan dalam alasan penghakiman’.

“Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil.

“Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera,” kata AGC dalam kenyataan itu.

Pada mesyuarat sama, Peguam Negara telah memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman kes tersebut.

“Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan Perlembagaan.

“Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah sejak 1974.

“Selain itu, alasan penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan daripada segi prosedur dan tidak berkadaran. 

“Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut,” kata AGC lagi.

Datuk Anwar dijadual membuat penjelasan terperinci mengenai isu Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah itu di Parlimen pada 13 November.

Datuk Ewon yang baru-baru ini meletakkan jawatan menteri Kabinet kerana tidak bersetuju dengan pendirian AGC berhubung isu hak 40 peratus hasil Sabah, berkata kenyataan AGC untuk merayu alasan penghakiman itu menimbulkan kekeliruan dan mencetuskan persoalan terhadap keikhlasan Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan mahkamah yang berpihak kepada Sabah.

“AGC kata tiada rayuan, tetapi dalam perenggan sama menyebut akan merayu kecacatan dalam alasan penghakiman. Tiada rayuan, tapi akan merayu alasan penghakiman, ia tetap satu rayuan.

“Pendirian dan pandangan AGC dalam prosiding Semakan Kehakiman itu menyegerakan peletakan jawatan saya dan hari ini, kenyataan AGC memperkukuhkan sebab saya meletak jawatan,” katanya dalam kenyataan pada 12 November.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Oktober memutuskan kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad sejak 1974.

Oleh itu Mahkamah Tinggi memerintahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menyemak dan menyelesaikan tunggakan dalam tempoh 180 hari untuk ‘tahun-tahun yang hilang’ dari 1974 hingga 2021, apabila tiada semakan bahagian hasil Sabah dijalankan.

Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah itu telah diperjuangkan sekian lama oleh Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.  Oleh itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil. Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera.”
Jabatan Peguam Negara (AGC).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg