Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilihan raya Sabah: PH, BN umum calon

Blok Pakatan Harapan akan tanding di 23 kerusi DUN; BN pula akan tanding di 41 kerusi
Nov 10, 2025 | 4:10 PM
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), mengumumkan 10 calon mewakili parti itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada akhir November 2025.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), mengumumkan 10 calon mewakili parti itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada akhir November 2025. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Beberapa parti politik, terutama gabungan parti pemerintah, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), telah mengumumkan senarai calon masing-masing untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, yang dijadual berlangsung pada akhir November. 

Menjelang hari penamaan calon pada 15 November, Pengerusi PH merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan 10 calon yang akan bertanding mewakili parti komponen PH itu pada PRN Sabah pada 29 November.

Antara yang menarik perhatian ialah penyertaan Datuk Yamani Hafez Musa, iaitu anak lelaki kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin atas tiket PKR.

Datuk Anwar berkata blok PH yang turut dianggotai Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) selain PKR, akan bertanding di 23 kerusi DUN pada PRN Sabah kali ini.

Turut menarik perhatian ialah dua pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu gabungan politik parti tempatan yang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, selaku Ketua Menteri Sabah, akan bertanding sebagai calon PKR.

Datuk Hajiji berkata tindakan dua bekas ahlinya diumumkan sebagai calon PKR bukan satu isu besar, dan beliau menghormati hak individu untuk bertanding di bawah parti lain.

Datuk Anwar pula berkata PH terbuka dan ikhlas untuk bekerjasama dengan mana-mana parti dalam PRN Sabah, namun parti itu mesti mempunyai tata kelola baik, menghapuskan rasuah dan komited membela nasib rakyat.

“Apa yang penting pihak terbabit mesti mempunyai niat yang jelas serta bekerja dengan ikhlas supaya matlamat bagi membangunkan Sabah tercapai,” katanya.

Pada PRN Sabah itu juga, PKR mensyaratkan 10 calon yang bertanding mewakili parti itu menandatangani surat aku janji berserta bon perjanjian bernilai RM10 juta ($3.12 juta) sekiranya membelot amanah parti.

PRN Sabah ke-17 juga menyaksikan GRS buat kali pertama bekerjasama dengan PH.

Sementara itu, BN pula yang mengumumkan akan bertanding di 41 kerusi menampilkan 80 peratus muka baru dan hanya mengekalkan 20 peratus calon muka lama termasuk lima penyandang kerusi sebelum ini.

Pengerusi BN merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa BN-Umno akan hanya dipimpin oleh seorang ketua dan anak jati Sabah, iaitu Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, tanpa wujud puak dan kumpulan tertentu yang boleh menggoyahkan keutuhan parti itu.

Datuk Bung pula menyifatkan 80 peratus muka baru yang ditampilkan sebagai calon pada PRN Sabah kali ini sebagai manifestasi kepada tindakan tegas parti itu untuk menyingkirkan kumpulan pengkhianat.

Kumpulan pengkhianat yang dimaksudkan Datuk Bung dipercayai merujuk kepada ahli Umno-BN yang melompat parti serta beralih sokongan kepada GRS di Sabah sebelum ini.

Perkara itu menyebabkan BN dan GRS berpatah arang dengan Datuk Ahmad Zahid, pernah menegaskan bahawa BN-Umno tidak akan bekerjasama dengan GRS, walaupun blok politik itu bekerjasama dengan PH dalam PRN Sabah ini.

Seramai 1.78 juta pengundi berdaftar layak memilih wakil rakyat bagi membentuk kerajaan baru Sabah pada 29 November. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg