Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menutup Kongres Nasional PKR 2025 dengan menangkis tuduhan amalan nepotisme dalam parti itu menyusuli penglibatan isteri dan anak perempuannya sebagai pemimpin kanan parti itu yang mengundang kritikan.
Dalam ucapan penutupnya di hadapan kira-kira 10,000 perwakilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru, beliau berkongsi keadaan genting yang memaksa isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, memimpin PKR sebagai Presiden buat sementara waktu, ketika beliau dipecat dan ditahan pada 1998.
“Orang bangkitkan ‘oh ini isteri, ini anak (memimpin PKR)’. Masa kita bertempur dulu mana ada kongres, mana ada perbincangan panjang (kepada) siapa saya nak serahkan obor (jawatan).
“Saya masuk penjara, tak ada dana, tak ada jentera (parti), masa itu tak timbul isu keluarga dan nepotisme.
“Ketika itu saya dalam keadaan terawang-awang, hanya beberapa jam atau hari lagi akan dihumban ke dalam penjara, siapa yang akan terima obor? Jadi saya serahkan kepada Azizah. Saya fikirkan hanya sementara, rupanya puluhan tahun. Jadi itulah keadaannya,” katanya.
Datuk Anwar berkata keadaan berbeza buat puteri sulungnya, Nurul Izzah, yang telah diberi kepercayaan oleh ahli akar umbi yang memilihnya sebagai Timbalan Presiden menerusi pemilihan pimpinan Pusat parti pada 23 Mei.
“Begitu juga Nurul Izzah. Dalam keadaan itu (dulu), terpaksa tinggalkan universiti, menggeledah sebagai orang dewasa ke hulu, ke hilir. Masa itu saya tak pernah dengar tentang nepotisme.
“Jadi di sini, ya Azizah saya yang pilih (sebagai Presiden) kerana terpaksa ambil keputusan segera. Tetapi Nurul Izzah, saudara-saudari yang pilih. Jadi saya ingat teruskan kerja,” katanya.
Datuk Anwar turut menaruh keyakinan bahawa pimpinan baru parti itu berupaya mendorong kejayaan PKR dengan lebih baik daripada apa yang pernah dicapai.
Beliau tidak menolak perbezaan pendapat dan pandangan dalam satu pasukan, namun mengingatkan agar harus kembali bersama untuk memastikan PKR terus utuh sebagai pertubuhan politik yang meraih kepercayaan rakyat.
“Tentunya kita sebagai jemaah ini mewakili pelbagai ragam dan rencam, tetapi apabila dalam jemaah mesti ada satu tekad untuk bersama. Berbeza dalam lingkungan (tetapi) kemudian harus bersama.
“Ini bagi saya amat penting untuk menjadikan badan itu satu kesatuan, terutama PKR yang banyak (rencana) belum tercapai. Tetapi kalau kita tunjukkan keretakan dalaman, ia tidak akan berhasil,” katanya.
Datuk Anwar turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan parti yang terdahulu, terutama mantan Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan mantan Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang gagal mempertahan jawatan masing-masing dalam pemilihan kali ini.
“Kita juga jangan lupa untuk rangkul penghargaan untuk orang-orang seperti Rafizi dan Nik Nazmi yang telah banyak memberi sumbangan dan lama bersama parti,” katanya.
Sebagai pengasas PKR, Datuk Anwar turut berjanji untuk mempertahan siapa saja pemimpin parti itu yang dianggap layak kerana parti memerlukan individu yang benar-benar komited untuk terus berjuang bersama demi kelangsungan perjuangan dan keyakinan rakyat terhadap PKR.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg