PUTRAJAYA: Mantan Menteri Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli, dipanggil memberi keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi membantu siasatan membabitkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion ($350 juta) dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings Plc (ARM).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, berkata Ahli Parlimen Pandan (Kuala Lumpur) itu, dipanggil memberi keterangan pada 10 pagi, 4 Mei.

Beliau berkata keterangan Datuk Rafizi itu diperlukan selepas mantan pembantunya ketika memegang jawatan Menteri Ekonomi, Encik James Chai, diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut minggu lalu.

“Sebanyak 22 keterangan telah diambil, termasuklah dalam kalangan menteri dan juga pegawai kanan beberapa agensi kerajaan, sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari 2025,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Rafizi tiba di Ibu Pejabat SPRM pada 9.30 pagi 4 Mei, dengan lebih 30 penyokong Datuk Rafizi turut hadir di pekarangan SPRM sejak 8.40 pagi bagi memberi sokongan, termasuk Ahli Parlimen Subang, Encik Wong Chen.

Datuk Rafizi menegaskan beliau akan memberi keterangan sendiri kepada SPRM, tanpa ditemani peguam kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.

“Saya akan masuk sendiri (beri keterangan) tanpa peguam. Kita tiada apa yang hendak disembunyikan.

“Saya yakin tidak ada apa-apa perkara (semasa sesi rakam keterangan diambil) yang memerlukan ia dirujuk kepada peguam.

“Jika keputusan SPRM ialah untuk mendakwa berdasarkan kes kami itu, kami akan pertahankan di mahkamah,” katanya kepada media Malaysia, sebelum memasuki bangunan SPRM.

Datuk Rafizi diambil keterangan berkaitan siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion di antara Kementerian Ekonomi yang diterajui beliau sebelum meletak jawatan pada Jun 2025, dengan syarikat ARM dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor.

Datuk Rafizi berkata kehadirannya ke SPRM adalah bagi membantu siasatan berhubung satu laporan dibuat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Hari ini saya dipanggil untuk memberi keterangan yang dimaklumkan berhubung siasatan satu laporan dibuat satu NGO mengenai kerjasama kerajaan dengan ARM, syarikat gergasi dari United Kingdom yang mereka bentuk cip.

“Saya tak ada maklumat (kes) yang lain selain daripada itu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan beliau akan ditahan atau tidak, Datuk Rafizi berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada SPRM.

SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu, menyusuli aduan daripada beberapa NGO yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.

Selain itu, siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu yang dikatakan diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing berkenaan selepas berhenti daripada perkhidmatan di sebuah kementerian.