Topik diikuti
Pergi ke BHkuRafizi nafi bayar RM8.5j untuk ambil alih parti Bersama
Rafizi nafi bayar RM8.5j untuk ambil alih parti Bersama
Rafizi nafi bayar RM8.5j untuk ambil alih parti Bersama
Peneraju Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli, menepis keras dakwaan bahawa beliau membayar RM8.5 juta ($2.73 juta) untuk mengambil alih parti itu daripada pengasasnya, Encik Tan Gin Theam.
Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah keji yang dijaja oleh tentera siber kerajaan, bahkan mendakwa turut dilaungkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Mengulas penyerahan parti itu, Datuk Seri Rafizi, menceritakan detik emosional apabila pengasas Bersama itu, Encik Tan, menyerahkan parti itu sambil menitiskan air mata, dengan satu-satunya permintaan agar Bersama dijaga rapi dan berupaya membela nasib rakyat biasa dengan lebih baik.
“Kita serahkan kepada Allah, akan ada balasan buat penyebar fitnah ini satu hari nanti,” tegasnya dalam kenyataan Facebook pada 28 Mei.
Bersama, sebuah parti politik kecil yang mula bertapak di Pulau Pinang sejak 2016, kini menjadi hala tuju baharu Datuk Seri Rafizi dan mantan Anggota Parlimen (AP) Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pengambilalihan itu bermula pada 19 Mei lalu, sehari selepas kedua-dua mereka mengosongkan kerusi AP masing-masing.
Kedua-dua mantan menteri Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu mengosongkan kerusi Parlimen sebelum meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menganggotai Bersama pada 19 Mei.
Datuk Rafizi, yang juga mantan Timbalan Presiden PKR dan Nik Nazmi, mantan Naib Presiden PKR, mengumumkan hala tuju baru politik mereka pada 17 Mei, selepas hilang kepercayaan kepada parti dan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Bersama, yang dilancarkan pada 19 Mei dan telah melonjak kepada lebih 20,000 ahli, dengan tegas menolak sebarang budaya politik lapuk.
Menurut Datuk Rafizi, ideologi Bersama jelas: “Merintis Malaysia yang lebih berdaya maju untuk rakyat biasa, dengan keberanian melawan kelas-kelas berkepentingan.”
Beliau menegaskan, sementara parti politik silih berganti, sistem kekal sama kerana kurangnya keberanian menentang kepentingan tertentu.
Justeru, “12 agenda Bersama” diwujudkan untuk membina dasar yang benar-benar mengubah sistem, melampaui sekadar penambahbaikan kecil.
Mantan Menteri Ekonomi itu turut mengumumkan bahawa Bersama akan membuka permohonan calon pilihan raya kepada semua ahli. Proses tapisan yang telus akan dijalankan.
“Semua orang berhak menjadi calon. Tidak perlu mengenali saya atau Nik Nazmi; setiap permohonan akan dinilai secara adil melalui proses perkenalan diri yang ringkas,” jelasnya, menekankan kesamaan peluang.
