Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiada pilihan raya kecil untuk kerusi Parlimen dikosongkan Rafizi, Nik Nazmi
Tiada pilihan raya kecil untuk kerusi Parlimen dikosongkan Rafizi, Nik Nazmi
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya: Keputusan diambil susuli kekosongan luar jangka di kededua kawasan
Tiada pilihan raya kecil untuk kerusi Parlimen dikosongkan Rafizi, Nik Nazmi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa yang dikosongkan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada 18 Mei.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata pihaknya telah dimaklumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menerusi surat bertarikh 20 Mei 2026, berhubung status kekosongan luar jangka kerusi terbabit.
Menurut Datuk Ramlan, kedua-dua kerusi tersebut diisytiharkan kosong mengikut Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan, menyusuli kekosongan di luar jangkaan, yang berlaku di kedua-dua kawasan berkenaan.
“Berdasarkan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, turut memaklumkan kepada SPR tiada keperluan mengisi kekosongan luar jangka itu.
“Selaras dengan itu, tiada PRK bagi Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa, akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 Mei.
Pada 17 Mei lalu, Berita Harian melaporkan Ahli Parlimen (AP) Pandan, Datuk Rafizi, dan AP Setiawangsa, Nik Nazmi, mengumumkan mereka telah mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing sejak 18 Mei.
Dalam satu kenyataan bersama selepas menghantar surat pemakluman mengenai tindakan mengosongkan kerusi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 18 Mei, Datuk Rafizi dan Nik Nazmi, berkata pengosongan kerusi Parlimen itu dibuat berikutan hasrat mereka meneroka hala tuju politik baharu.
Pada 17 Mei, mereka turut mengumumkan mereka keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa 19 Mei, dengan pemakluman mengenainya dibuat melalui surat kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh.
Kedua-dua mantan menteri itu juga mengumumkan keputusan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (MUP), sebuah parti politik kecil yang diasaskan di Pulau Pinang sejak 2016.
Pengumuman itu berlangsung serentak dengan Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru, yang turut dihadiri Datuk Anwar selaku Pengerusi PH dan Presiden PKR.
Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan jurucakap Kerajaan Perpaduan, yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Mesyuarat Kabinet pada 20 Mei, turut dimaklumkan mengenai persiapan untuk sidang Dewan Rakyat pada 22 Jun ini.
Ia menyusuli tindakan dua AP kerajaan, iaitu Datuk Rafizi dan Nik Nazmi, yang mengosongkan kerusi mereka sejak 18 Mei lalu.
