Mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, bersedia menghadapi sebarang pendakwaan di mahkamah susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Datuk Rafizi, mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata siasatan bermula daripada tuduhan media sosial bahawa beliau menerima rasuah berhubung kerjasama strategik negara dengan syarikat monopoli reka bentuk cip dunia, Arm Holdings Plc (ARM).

Beliau mendakwa laporan SPRM terhadapnya dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang dikaitkan dengan individu di Pejabat Perdana Menteri sebelum ini.

“Kalau kita memang tak ambil duit, maka tak ada money trail (jejak wang) atau bukti kekayaan mahupun kemewahan.

“Kalau kita buat kerja kita sahaja dan tidak ada self-interest (kepentingan diri), soal macam mana pun jawapan kita konsisten dengan rekod-rekod rasmi yang ada.

“Insya-Allah, peperiksaan SPRM kertas ketiga (hari ketiga/6 Mei) ini pun akan okey.

“Kalau saya bertuah dapat notis terima sijil di mahkamah nanti, Insya-Allah saya naik pentas dengan tunjukkan sijil peperiksaan SPRM yang cemerlang,” katanya sinis dalam hantaran tersebut.

Terdahulu, Datuk Rafizi hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 7 Mei buat hari keempat berturut-turut sejak 4 Mei, bagi menyambung proses merekod keterangan.

Pada 6 Mei, Ketua Pesuruhjaya SPRM yang akan tamat perkhidmatan pada 12 Mei, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan mencadangkan pertuduhan terhadap dua individu berhubung siasatan urus niaga pelaburan semikonduktor RM1.1 bilion itu.

Beliau berkata kertas siasatan kini di peringkat akhir dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat, tetapi enggan mendedahkan identiti dua individu yang dicadang dituduh itu.

“Setakat ini, pihak kami sudah merakam keterangan 22 saksi termasuk Datuk Rafizi, dan bekas pembantunya yang juga penganalisis politik, Encik James Chai.

“Siasatan kini hampir pada peringkat akhir.

“Pada masa ini, hanya tinggal dua lagi saksi yang perlu dirakam keterangan, seorang di Taiwan dan seorang lagi (berada) di dalam negara,” katanya pada sidang media, lapor Berita Harian Malaysia.

Siasatan itu tercetus akibat dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan antara Kementerian Ekonomi, ketika dipimpin Datuk Rafizi, dengan syarikat ARM melibatkan perjanjian strategik industri semikonduktor.

Datuk Rafizi melepaskan jawatan Menteri Ekonomi pada Jun 2025, sejurus selepas tewas kepada Cik Nurul Izzah Anwar, dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, pada Mei 2025.