Topik diikuti
Pergi ke BHkuRaja Permaisuri Agong gesa pelan jangka panjang tangani kesan jerebu terhadap pelajar
Rancang perkukuh sistem belajar dari rumah, syarikat telekomunikasi sumbang kad SIM melalui Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor tanda sokongan
Raja Permaisuri Agong gesa pelan jangka panjang tangani kesan jerebu terhadap pelajar
JOHOR BAHRU: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, menggesa kerajaan, sektor swasta dan masyarakat setempat mengambil tindakan bersama bagi menangani kesan fizikal serta psikologi jerebu terhadap pelajar dan keluarga.
Beliau turut menekankan keperluan merangka strategi jangka panjang serta memperkukuh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), supaya usaha menangani jerebu tidak terbatas kepada langkah sementara ketika krisis.
“Tindakan kolektif terutamanya daripada pihak kerajaan dan sektor swasta bagi merancang langkah proaktif diperlukan bagi menangani kesan fizikal serta psikologi jerebu terhadap pelajar dan keluarga.
“Di samping itu, kerjasama erat daripada komuniti setempat amat diperlukan untuk memperkasa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah agar lebih berkesan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Beliau berkata demikian sempena Sesi Mengadap Takzim Kerajaan Negeri Johor, Ibu Bapa serta Warga Pendidik Berhubung Isu Jerebu dan Persekolahan di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada 19 Oktober.
“Pihak berkaitan juga perlu merangka pelan strategi bagi jangka masa panjang, bukannya sekadar penyelesaian sementara sewaktu krisis jerebu melanda,” katanya.
Raja Zarith Sofiah turut merakamkan penghargaan atas sumbangan pelitup oleh Sunway Healthcare bagi kegunaan murid di Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta pembekalan kad SIM oleh YTL Communications untuk menyokong akses pembelajaran digital.
Pada hari yang sama, beliau turut menyempurnakan sumbangan 500,000 pelitup kepada kerajaan Johor bagi kegunaan murid dan pelajar sekolah di negeri itu.
Sumbangan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) tersebut disampaikan dalam majlis di Dewan Auditorium, Menara MBJB.
Pengurniaan itu menyusuli sumbangan hampir 300,000 pelitup sebelum ini bagi petugas barisan hadapan, termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta agihan kepada setiap daerah di Johor.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Raja Permaisuri Agong terhadap kesihatan warga pendidikan.
“Sumbangan sebanyak 500,000 unit pelitup disampaikan menerusi YRZSNJ khusus buat seluruh murid dan pelajar sekolah di negeri ini,” katanya.
Beliau menyifatkan sumbangan itu sebagai kesinambungan inisiatif kebajikan Raja Permaisuri Agong dalam membendung kesan jerebu serta mencerminkan keprihatinan institusi diraja Johor terhadap kesihatan masyarakat.