KUALA LUMPUR: Perkembangan terkini mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dilihat kembali ke pejabatnya pada 13 Oktober, selepas pemergian isterinya, Allahyarhamha Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, pada 28 September lalu, telah melegakan ramai pihak.

Menerusi satu hantaran di media sosial yang dikongsikan oleh Pegawai Media Tun Dr Mahathir, Encik Adam Mohd Muhayeddin, tokoh berusia 101 tahun itu dilihat sedang membelek fail di pejabatnya.

Hantaran itu, yang turut disertakan dengan kapsyen “Jika saya tinggal setengah hari lagi untuk hidup pun, saya tetap akan bekerja”, menarik perhatian ramai, yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Dr Mahathir ketika beliau melalui tempoh sukar selepas pemergian Dr Siti Hasmah.

Dr Mahathir yang masih dirawat dan dipantau di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, datang ke pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, untuk menyertai majlis tahlil buat Allahyarhamha Dr Siti Hasmah.

Pada hari yang sama, orang ramai turut teruja melihat perkongsian video oleh pelakon Malaysia, Datin Umie Aida, yang menunjukkan Dr Mahathir tersenyum menyambut kedatangan tetamu cilik pada majlis tahlil itu.

Warganet menyatakan rasa lega melihat senyuman terukir pada wajah Dr Mahathir dalam video berkenaan, selepas kerap dilihat dalam keadaan sugul selepas pemergian pasangan hidupnya selama 70 tahun.

“Sukanya tengok Tun senyum manis,” tulis noorshahirah di platform media sosial Threads.

“Saya rasa anak kecil terapi yang baik untuk Tun M. Nampak senyuman lebar dan bersemangat jumpa anak-anak kecil ini,” tulis noralisan1128 di Instagram.

Sementara itu, media Malaysia melaporkan bahawa anak perempuan Dr Mahathir, Datuk Marina Mahathir, berkata keadaan kesihatan bapanya itu menunjukkan perkembangan positif.

Datuk Marina, yang ditemui pada majlis tahlil Allahyarhamha Dr Siti Hasmah pada malam 13 Oktober, berkata bapanya kini sudah boleh bercakap dan menyatakan keinginan untuk makan.

Beliau menambah bahawa keadaan bapanya itu semakin baik dan hampir kembali seperti biasa, meskipun masih menerima rawatan di IJN.

Datuk Marina turut menyampaikan penghargaan kepada orang ramai yang tidak putus-putus menziarahi pusara ibunya, walaupun sudah dua minggu pemergian Allahyarhamha yang digelar Bonda Negara itu.

Beliau berkata keluarganya amat terharu dengan keprihatinan dan kasih sayang orang ramai, termasuk mereka yang datang dari jauh untuk menziarahi pusara Allahyarhamha Dr Siti Hasmah.

Allahyarhamha Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun kira-kira 9.30 pagi pada 28 September lalu di IJN, selepas dua hari dimasukkan ke pusat perubatan itu.

Allahyarhamha yang meninggalkan tujuh anak telah disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya, dan diberikan penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara, atas jasa besarnya kepada Malaysia.