Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat teruja jumpa Agong santap nasi lemak pada hari keputeraan

Jun 3, 2024 | 5:21 PM
Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim (tengah), meluangkan masa beramah mesra dan melayani keterujaan pengunjung restoran Nasi Lemak Wanjo di Kampung Baru, Kuala Lumpur, ketika beliau turun bersarapan di situ pada cuti umum Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Agong, 3 Jun.
Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim (tengah), meluangkan masa beramah mesra dan melayani keterujaan pengunjung restoran Nasi Lemak Wanjo di Kampung Baru, Kuala Lumpur, ketika beliau turun bersarapan di situ pada cuti umum Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Agong, 3 Jun. - Foto FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mengunjungi restoran Nasi Lemak Wanjo pada 3 Jun, terkejut dan teruja apabila dapat bersua muka secara dekat dengan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim.

Lebih istimewa, 3 Jun adalah cuti umum di Malaysia sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Agong, Sultan Ibrahim, sejak menaiki takhta Persekutuan pada 31 Januari lalu.

Berdasarkan perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, orang ramai dilihat teruja dan tidak melepaskan peluang keemasan untuk bergambar dengan Agong.

“Sultan Ibrahim berangkat ke Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada pagi ini (3 Jun) untuk sarapan di kedai Nasi Lemak Wanjo,” menurut hantaran itu.

Sultan Ibrahim juga sudi meluangkan masa untuk beramah mesra serta bergambar dengan orang ramai yang berkunjung ke kedai makan popular berkenaan.

Rakyat Malaysia menyambut cuti umum sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Agong pada 3 Jun.

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Agong, Sultan Ibrahim.

Menerusi catatan di Facebook, Datuk Anwar berkata beliau bagi pihak Kerajaan Perpaduan mendoakan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja agar sentiasa berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Semoga baginda kekal qarar (tenang dan tenteram) memayungi negara dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini.

“Saya dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi kepada institusi raja berperlembagaan,” katanya.

Jemaah Menteri Malaysia turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Agong dan mendoakan pemerintahan beliau penuh kedaulatan, dilanjutkan usia dan sentiasa diberkati Allah swt.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg