KUALA LUMPUR: Rampasan 521 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, atau syabu, daripada sebuah jet peribadi di Laos, disahkan bukan berasal dari Malaysia, sebaliknya dipercayai mahu diseludup ke Filipina.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata jet peribadi yang disewa khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Subang, di Selangor, ke Luang Prabang, Laos, tanpa membawa sebarang muatan sebelum bekalan dadah berkenaan dimuatkan ke dalam pesawat di sana.

“Dadah yang dirampas itu untuk pasaran Manila, Filipina, dan bukannya Malaysia.

“Pesawat terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Luang Prabang tanpa sebarang kargo.

“Dadah berkenaan hanya dimuatkan ke dalam pesawat setibanya di Laos dan dipercayai untuk dihantar ke Manila,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Hussein berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimaklumkan oleh pihak berkuasa Laos pada 6 Oktober berhubung kejayaan menumpaskan cubaan penyeludupan dadah rentas sempadan berskala besar di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada 1 Oktober lalu.

Beliau berkata jet peribadi itu pada asalnya berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Luang Prabang dengan membawa tiga individu iaitu juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia dan seorang penumpang warga Filipina.

Pesawat berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang kira-kira 11.30 pagi.

“Kira-kira 1.30 tengah hari, dua kenderaan tiba di lapangan terbang dan beberapa kakitangan lapangan terbang membantu memindahkan 23 beg daripada kenderaan berkenaan ke atas troli untuk dibawa ke pesawat.

“Pemeriksaan terhadap beg terbabit membongkar penemuan 500 bungkusan mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 521kg,” katanya.

Datuk Hussein berkata seramai 13 individu termasuk seorang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan berhubung rampasan berkenaan.

“Selain juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia dan penumpang warga Filipina itu, tiga pekerja syarikat pengendalian darat serta tujuh kakitangan lapangan terbang Laos yang bertanggungjawab mengendalikan mesin pengimbas X-ray turut ditahan.

“Semua 13 individu terbabit ditahan oleh pihak berkuasa Laos untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah PDRM turut membuka kertas siasatan berhubung kes itu.

Polis sedang menyiasat sama ada terdapat individu atau rangkaian yang berpangkalan di Malaysia mempunyai kaitan dengan operasi penyeludupan berkenaan.

Datuk Hussein berkata pihaknya akan menghantar beberapa pegawai JSJN ke Laos bagi menjalankan sesi temu bual serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai sindiket dadah yang terbabit, khususnya sebarang kaitan dengan rangkaian di Malaysia.

Terdahulu, Polis Laos merampas 521kg dadah jenis crystal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, dengan 13 individu ditahan berhubung kes itu.