KUALA LUMPUR: Rating penerimaan terhadap pentadbiran tahun kedua Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, naik 4 peratus kepada 54 peratus, berbanding 50 peratus yang direkodkan bagi tempoh sama pada 2023.
Hasil tinjauan Merdeka Centre itu, rating penerimaan terhadap Kerajaan Perpaduan juga meningkat 5 peratus untuk berada pada 51 peratus, berbanding 46 peratus pada November 2023.
“Pengundi secara amnya berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri dalam beberapa aspek (iaitu menarik pelaburan, meningkatkan imej negara dan meningkatkan perkhidmatan awam), namun memberikan penilaian bercampur-campur apabila ditanya mengenai usaha memperkukuh ekonomi,” kata Merdeka Centre dalam satu kenyataan pada 23 Disember.
Pada masa sama, firma tinjauan itu mendapati rasa tidak puas hati terhadap Kerajaan Persekutuan pada masa ini berada pada tahap 47 peratus.
“Petunjuk ini sebahagian besarnya didorong oleh kebimbangan berterusan mengenai tekanan kos sara hidup dan beberapa kebimbangan mengenai pemotongan subsidi yang dijadualkan akan berlaku pada masa hadapan,” kata Merdeka Centre, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut Merdeka Centre, seperti sebelum ini, sentimen pengundi kekal tertumpu kepada isu ekonomi, dengan 65 peratus menyatakan ia sebagai masalah nombor satu dihadapi rakyat ketika ini.
Bagaimanapun, peratusan sentimen itu menurun berbanding 74 peratus yang dicatat pada 2023.
“Sebanyak 53 peratus berpendapat negara sedang menuju ke arah yang salah (berbanding 54 peratus pada 2023), sementara bilangan pengundi yang berpendapat negara menuju ke arah yang betul meningkat sedikit kepada 39 peratus berbanding 36 peratus pada November 2023.
“Sebab utama arah yang salah ialah isu ekonomi (47 peratus), ketidakstabilan politik (7 peratus) dan pentadbiran yang lemah (8 peratus),” kata Merdeka Centre.
Tinjauan Merdeka Centre dijalankan antara 27 November hingga 10 Oktober lalu, bertujuan mengukur persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa.
Seramai 1,207 pengundi berdaftar terdiri daripada 52 peratus Melayu, Cina (29 peratus), India (7 peratus), masing-masing 6 peratus Bumiputera Islam dan bukan Islam di Sabah dan Sarawak, yang mencerminkan profil pilihan raya negara, ditemubual melalui talian tetap dan telefon bimbit.
Responden dipilih berdasarkan persampelan rawak mengikut kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan pilihan raya negeri. Undian itu dibiayai menerusi sumber kewangan dalaman Merdeka Centre.
Usia pentadbiran Kerajaan Perpaduan Malaysia pimpinan Datuk Anwar sudah masuk ulang tahun kedua pada 19 November.
Kerajaan Perpaduan dibentuk secara pakatan unik antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN), serta sokongan padu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti lain selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada November 2022.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg